Malaysia fokus hab mobiliti ASEAN, terajui revolusi EV rantau ini

Malaysia fokus hab mobiliti ASEAN, terajui revolusi EV rantau ini

HASBI Habibollah (tengah) melakukan gimik perasmian Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) 2026 di KLCC hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kini memperkukuhkan kedudukan sebagai pusat pertemuan utama bagi fasa pertumbuhan mobiliti ASEAN yang seterusnya di tengah-tengah kepesatan teknologi kenderaan elektrik (EV).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, peralihan tingkah laku pengguna tempatan kini tidak lagi hanya bersandarkan kepada faktor kemampuan atau kemudahan semata-mata.

“Rakyat Malaysia sekarang mula memilih teknologi yang lebih bersih, penyelesaian mobiliti pintar dan hala tuju masa depan yang lebih mampan.

“Kerajaan akan memainkan peranan proaktif melalui pengenalan struktur cukai jalan EV yang lebih progresif dengan kadar jauh lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE). 

“Kerajaan turut menyediakan pelepasan cukai bagi pemasangan peralatan pengecasan EV untuk menyokong pengembangan infrastruktur berkaitan di seluruh negara,” katanya. 

Sehubungan itu, penganjuran edisi ke-15 Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) 2026 menjadi platform strategik yang penting dalam membentuk hala tuju mobiliti di rantau Asia Tenggara.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menarik penyertaan lebih 317 pempamer dari 16 negara yang memenuhi enam dewan pameran utama.

Mengulas mengenai pengangkutan awam, beliau mendedahkan rancangan untuk memperoleh sehingga 1,600 bas elektrik antara tahun 2026 hingga 2031 bagi menggantikan armada diesel di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Setakat Mac 2026, Malaysia telah merekodkan lebih daripada 5,800 pusat pengecasan EV awam di seluruh negara dengan pertumbuhan pesat dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

“Dalam pada itu, Malaysia juga berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan melebihi RM50 juta dalam industri EV antara 2018 hingga 2025 yang mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan.

“Pencapaian ini selari dengan status Malaysia yang kini mengatasi Indonesia sebagai pasaran automotif terbesar ASEAN bagi separuh pertama tahun 2025,” jelasnya. 

Sementara itu, Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew berkata, Malaysia kini bukan sekadar peserta, malah menjadi titik pertemuan penting bagi perbincangan industri automotif global.

“AMKL 2026 kini berevolusi daripada acara perdagangan konvensional kepada platform kerjasama rentas sektor merangkumi pembuatan pintar, rantaian bekalan digital serta pembangunan bakat dalam penyelenggaraan kenderaan hibrid dan EV,” katanya. 

Selain pameran, acara tahun ini turut menekankan aspek pembangunan bakat melalui bengkel latihan bagi menangani jurang kemahiran dalam penyelenggaraan kenderaan hibrid dan EV.

Gabungan elemen perniagaan dan budaya automotif turut dimeriahkan melalui segmen autoFEST@KL yang menampilkan pameran kereta klasik, pertandingan e-sukan dan persembahan muzik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN