LUMUT: Satu lagi mayat pendatang asing tanpa izin tragedi bot karam di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lalu, ditemukan dalam keadaan terapung hari ini.
Mayat lelaki terbabit ditemukan oleh aset Pasukan Polis Marin (PPM), PSC 16 pada pukul 12 tengah hari, kira-kira 4.8 batu nautika ke timur laut dari lokasi kejadian.
Mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu kemudian dibawa ke jeti PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.
Penemuan mayat terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini adalah seramai lapan orang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang memasuki hari keempat hari ini melibatkan keluasan sektor pencarian sejauh 219.01 batu nautika persegi.
Katanya, operasi tertumpu di beberapa sektor pencarian termasuk kawasan penemuan mayat mangsa yang ditemukan pada hari kedua operasi.
“Maritim Malaysia bersama agensi sahabat akan terus komited melaksanakan operasi sehingga kesemua mangsa berjaya ditemui,” katanya.
Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti PPM Kampung Acheh telah mula beroperasi seawal pukul 7.30 pagi dengan Maritim Malaysia mengatur gerak aset KM Malawali dan Bot Perkasa 1238 bagi operasi berkenaan.
Katanya, operasi itu turut dibantu aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Sri Indera Sakti, FCB 1002, FCB 1030 dan Fennec, selain aset PSC 16 serta PSC 24 milik PPM.
“Selain itu, komuniti nelayan setempat turut membantu usaha pencarian mangsa. Setakat ini, usaha pencarian baki mangsa yang belum ditemui sedang giat dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat,” katanya.
Op Carilamat dilancarkan susulan kejadian sebuah bot yang membawa 37 PATI dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini pada Isnin.
Aduan mengenai insiden itu diterima kira-kira pukul 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum Op Carilamat diaktifkan pada pukul 6 pagi.
Seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan pada hari kejadian. – UTUSAN










