BUKIT JALIL: ‘Kita sudah bantah keras.’ Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penahanan 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 oleh tentera Israel.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di sini, hari ini.
Penegasan itu selaras dengan kenyataan Anwar di Facebook beliau malam tadi, tindakan tentera Israel tersebut bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin.
Anwar berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban!,” katanya.
Sekurang-kurangnya 16 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi itu dilaporkan kini dalam tahanan Israel selepas tentera laut rejim Zionis memintas 15 kapal misi kemanusiaan GSF 2.0 di Laut Mediterranean ketika dalam pelajaran menuju Gaza.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan sukan satu-satunya kerangka yang dapat menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa.
“Kalau dalam badminton atau bola sepak, penyertaan dan dokongan itu secara spontan, tidak kira yang score goal itu Melayu atau Cina atau Kadazan. Yang smash itu India atau Cina. Inilah keistimewaannya.
“Yang lain sukar, lebih-lebih lagi dalam politik kerana terlibat daripada satu perasaan yang menunjukkan perbezaan. Malah, ada kajian akademik sosiologi yang menunjukkan hampir semua pendapat di mana satu-satunya kerangka untuk satukan rakyat adalah dengan kegiatan sukan olahraga,” katanya.
Anwar turut memberi jaminan kegiatan sukan dan kebajikan para atlet akan menjadi keutamaan dan akan dipelihara tanpa kompromi.
“Dulu kita terpaksa bergaduh dengan persatuan sukan sebab tumpuan mereka lain, kena ada pakaian luar biasa, dengan penerbangannya. Jadi, kebajikan atlet nombor dua.
“Tetapi sekarang, kalau nak jayakan sukan, negara ini tumpuannya adalah kebajikan para atlet. Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa, mudah, tempat latihan pun lebih baik.
“Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya bagi jaminan, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya, tidak ada kompromi,” katanya. – UTUSAN










