Malam Citra Warna Kuala Perlis ikonik

Malam Citra Warna Kuala Perlis ikonik

PELBAGAI acara menarik bersempena perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis yang memasuki tahun ketiga penganjuran di Dataran Lok 9, Kuala Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Malam Citra Warna Kuala Perlis bersempena Festival Rakyat 3.0 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung, sekali gus menjadikan ia acara tahunan cukup ikonik.

Festival tiga hari bermula Jumaat sehingga Ahad di Dataran Lok 9 di sini yang juga bersempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Ke-83 menyajikan pelbagai aktiviti menarik dengan menghimpunkan elemen seni, budaya dan persembahan pelbagai kaum.

Pelbagai acara bertaraf antarabangsa turut menghiasi festival berkenaan seperti Perlis International Open Fight Night 3.0, Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kelab Antarabangsa dan Kebangsaan 2026, Kejohanan Gusti Lengan Jemputan Antarabangsa Perlis 2026, pertunjukan wau gergasi dan banyak lagi.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, festival itu dilihat mampu memacu pertumbuhan dan merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan perbelanjaan dalam sektor makanan, minuman, penginapan, kraftangan serta perkhidmatan pelancongan.

Katanya, program berkenaan juga merupakan acara signifikan dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri yang kaya dengan elemen budaya dan keindahan flora fauna.

“Persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden bukan sahaja me­nyerlahkan keunikan warisan seni dan budaya negeri bahkan turut menjulang martabat seni tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Malam Citra Warna ini akan diadakan setiap tahun bersempena keputeraan Raja Perlis dan Perlis juga menjadi negeri pertama yang konsisten mengadakan Malam Citra Warna tersebut sejak tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam majlis perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026 di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Festival anjuran kerajaan negeri itu turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada Five Petroleum Malaysia Sdn. Bhd, 99 Speed Mart Holding Berhad dan Aurelius Hospital Alor Setar.

Majlis perasmian dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik seperti tarian kebudayaan pelbagai kaum serta persembahan nyanyian oleh Noraniza Idris dan ratu rock negara, Ella yang memukau para pengunjung pada malam tersebut.

Selain itu, Malam Citra Warna yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri itu turut diserikan dengan perarakan perahu diraja, choley, kereta berhias dan penduduk Kampung Warna-Warni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN