Mahkamah Tinggi kekal sabitan, JPJ Terengganu catat sejarah penguatkuasaan

Kes lebihan muatan: Mahkamah Tinggi kekal sabitan, JPJ Terengganu catat sejarah penguatkuasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatat sejarah penguatkuasaan apabila Mahkamah Tinggi Terengganu mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap sebuah syarikat dalam kes lebihan muatan, sekali gus mewujudkan preseden penting berkaitan pelucuthakan kenderaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, mahkamah menolak rayuan syarikat terbabit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Berang yang menjatuhkan denda RM11,000 serta perintah lucut hak kenderaan kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia.

Menurut beliau, kes itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(a) dan (b)(vi) dibaca bersama Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), iaitu pelanggaran syarat lesen pengendali apabila sebuah lori membawa muatan balak melebihi had dibenarkan dengan lebihan sebanyak 95.88 peratus.

“Perbicaraan berlangsung selama setahun bermula September 2024 hingga September 2025 dengan melibatkan keterangan daripada sembilan saksi. Keputusan ini adalah kes pertama dalam sejarah JPJ Terengganu yang melalui proses perbicaraan penuh sehingga ke peringkat Mahkamah Tinggi dan berjaya mengekalkan perintah pelucuthakan kenderaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dijangka memberi impak besar kepada industri pengangkutan komersial, khususnya dalam mengubah persepsi bahawa kesalahan lebihan muatan boleh dianggap sebagai kos operasi biasa.

Sebaliknya, katanya, tindakan pelucuthakan aset fizikal membuktikan pelanggaran serius boleh mengakibatkan kehilangan terus aset syarikat, sekali gus menjadi langkah pencegahan lebih berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN