KUALA LUMPUR: Anak kepada pasangan yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang di sini kelmarin menyifatkan bapanya sebagai seorang yang baik dan sentiasa mengutamakan keluarga namun tidak menyangka hayat berakhir akibat dilanggar pemandu mabuk.
Shathisuaran, 26, berkata, bapanya, A. Doraisingam, 61, merupakan seorang yang berdisiplin tinggi selain mengamalkan gaya hidup sihat dan positif.
“Ayah saya tidak minum alkohol, tak hisap rokok…dia sangat mementingkan keluarga, tapi akhirnya mati dilanggar pemandu mabuk.”
“Kehilangan ini amat sukar diterima memandangkan ibu dan bapa seorang yang sangat mementingkan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, Doraisingam maut bersama isterinya, A. Menagah, 56, selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dipercayai dipandu individu dalam keadaan mabuk di Jalan Ampang di sini.
Ketika kejadian, mendiang sedang menghantar isterinya itu ke tempat kerja di Hospital Gleneagles di sini.
Sementara itu, anak kedua mangsa, Pavithra, 24, berkata, ibunya pula seorang yang rajin dan tetap keluar bekerja walaupun dalam keadaan kurang sihat.
“Ibu saya memang seorang yang tak boleh diam. ada sahaja kerja dia nak buat walaupun di rumah. Sebenarnya, ibu demam pada hari kejadian tapi dia tetap ingin pergi kerja.
“Ogos ini genap 30 tahun ibu saya bekerja di hospital berkenaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Shathisuaran, Pavithra dan seorang lagi adik mereka, Cheran, 19, yang kini menjadi yatim piatu berharap agar keadilan dapat ditegakkan untuk kedua-dua ibu bapa mereka yang terkorban.
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN









