PETALING JAYA: Perdana Menteri menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) sebagai persediaan pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) yang akan menyertai World Music Contest 2026 di Kerkrade, Belanda, Julai depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sempat meluangkan masa singgah ke Sekolah Sultan Alam Shah di Putrajaya untuk melihat sendiri keadaan infrastruktur premis serta bertemu pasukan ASWO, hari ini.
Katanya, seramai 46 pelajar tingkatan satu hingga empat yang menganggotai pasukan itu bakal mewakili negara ke pertandingan berprestij yang berlangsung pada 30 Julai di Belanda.
“Keupayaan anak-anak ini untuk melangkah berani membawa bakat ke pentas dunia adalah cerminan kekuatan negara kita.
“Ia tidak hanya terukur pada angka dan pembangunan fizikal, tetapi juga pada keupayaan membina keyakinan, mendewasakan jiwa dan membentuk jati diri anak bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebagai tanda sokongan, beliau menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu persediaan dan perjalanan pasukan ini ke Eropah dengan harapan ia akan menyemarakkan semangat anak-anak menerpa kejayaan.
“Saya doakan selamat maju jaya buat anak-anak Alam Shah Wind Orchestra. Gegarkan pentas Eropah dengan alunan muzik berkelas dunia, dan harumkan nama Malaysia dengan keindahan seni serta semangat yang tidak pernah luntur,” katanya.-UTUSAN










