KUALA LUMPUR: Selepas sedekad, kumpulan folk-pop independen, Mafidz akhirnya berjaya mengadakan konsert sulung mereka, Teleportasi Showcase: Mafidz x Pusakata dengan penuh bergaya di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dianggotai trio adik-beradik, Megat Hafidz (vokalis utama), Megat Fazly (vokal dan keyboard) serta Megat Aizzat (vokal dan gitar), Mafidz mempersembahkan rangkaian lagu daripada album Ada Angin & Hati (2021) dan Teleportasi (2024).
Dengan sokongan pemuzik iringan, pentas Zepp Kuala Lumpur dihias ala ruang tamu mencipta suasana intim sepanjang persembahan hampir dua jam itu berlangsung.

“Terima kasih kerana hadir malam ini. Kami gembira melihat begitu ramai yang datang menyaksikan persembahan kami,” kata Megat Hafidz.
Konsert itu turut diserikan dengan kemunculan penyanyi jemputan, Hanis Azman menerusi lagu Matamu.
Suasana bertambah hangat apabila Mafidz bergandingan dengan Pusakata atau Mohammad Istiqamah Djamad menerusi lagu Malam Bukan Di Pagar Bintang dan Resah.

Dalam pada itu, Istiqamah menyifatkan Mafidz sebagai kumpulan yang memiliki potensi besar untuk melebarkan pengaruh ke Indonesia.
“Beri tepukan untuk Mafidz. Mereka seakan berada di kota yang salah, sepatutnya mereka mengadakan siri jelajah di Jogjakarta atau Malang.
“Mereka ibarat minuman yang sudah tersedia, namun belum dinikmati sepenuhnya. Saya menantikan kehadiran mereka di Indonesia.
“Mereka membawa muzik yang sangat syahdu dengan persembahan yang berani,” katanya.
Sepanjang konsert tersebut, Mafidz mendendangkan sekitar 20 lagu popular termasuk Igauku, Bila Kau Dengar, Lemas, Senandung dan Matamu.
Terdahulu, lagu Senandung yang menampilkan duet bersama Otam daripada album Teleportasi berjaya merangkul anugerah Lagu Terbaik di Anugerah Lagu Indie 2024.
Malah, kumpulan itu turut dinobatkan sebagai Kugiran Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24. – UTUSAN










