SETIU: Ketika ramai anak muda memilih berhijrah ke bandar demi membina kerjaya lebih stabil, seorang graduan seni dari Kampung Pak Kancil, di sini memilih keputusan berbeza apabila bertekad meninggalkan kehidupan kota demi mengejar minat dalam bidang mural di kampung halaman.
Liya Najwa Lukman, 31, berkata, dia berani mempertaruh bakatnya demi membuktikan seni juga mampu menjadi sumber rezeki walaupun sedar ia kurang mendapat perhatian di kawasan luar bandar.
Katanya, minat terhadap dunia lukisan berputik sejak dia berada di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim (SMKTI), dekat sini sebelum menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
“Selepas tamat pengajian, realiti dunia pekerjaan tidak sama seperti yang dibayangkan apabila ia jauh lari daripada bidang yang diambil ketika belajar. Bagaimanapun setiap pekerjaan yang saya ceburi tidak bertahan lama kerana tidak serasi dengan jiwa sebagai anak seni.
“Pada 2020, saya mula sertai program bersama Human Resource Development Fund (HRDF) untuk belajar menjadi usahawan seni dan bekerja sebagai pelukis mural di Bandar Karak, Pahang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Bagaimanapun Liya Najwa mengambil keputusan pulang dan menetap di kampung halamannya pada 2022, namun agak sukar baginya memulakan kerjaya sebagai pelukis bebas.
Katanya, pada Januari 2023, dia mula mengorak langkah dengan menerima tempahan mural secara kecil-kecilan sebelum namanya semakin dikenali hasil promosi mulut ke mulut pelanggan.
Antara pelanggan yang sering menggunakan khidmatnya adalah taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) yang mahu dinding bangunan dihias dengan keceriaan.
“Setiap hasil mural dihasilkan secara lukisan tangan bebas selain diolah mengikut kreativiti dan kehendak pelanggan. Harga yang ditawarkan sekitar RM10 hingga RM15 sekaki mengikut bajet pelanggan.
“Saya tidak kisah mengenakan caj murah asalkan pelanggan puas hati. Bagi saya, kepuasan melihat hasil kerja sendiri lebih bernilai, ” katanya.
Menurutnya, dengan mural itu dia dapat meluahkan isi hati dan bekerja tanpa tekanan selain waktu bekerja yang fleksibel memudahkan dirinya membahagikan masa bekerja dan menguruskan tiga anak.
Dia berharap suatu hari nanti dapat mewujudkan komuniti seni di Setiu agar lebih ramai anak muda luar bandar berani menjadikan seni sebagai kerjaya profesional. – UTUSAN










