BEIJING/WASHINGTON/NEW DELHI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa rakan sejawannya dari China, Xi Jinping menawarkan bantuan Beijing untuk memastikan Selat Hormuz terus dibuka.
Menurut Trump, Jinping turut memberi jaminan Beijing tidak akan membekalkan peralatan ketenteraan kepada Iran dalam peperangannya dengan AS dan Israel yang bermula pada 28 Februari sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan 8 April lalu.
Rumah Putih berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan konflik di Asia Barat ketika sidang kemuncak dua hari di Beijing yang berakhir semalam.
ISU SELAT HORMUZ
Trump memaklumkan kedua-dua mereka bersetuju Iran tidak sepatutnya memiliki senjata nuklear.
“Jinping berkata bahawa beliau tidak akan memberikan peralatan ketenteraan dan menyatakannya dengan tegas.
“Beliau mahu melihat Selat Hormuz dibuka dan berkata, jika saya boleh membantu dalam apa jua cara, saya mahu membantu’,” kata Trump dalam rancangan Hannity di Fox News selepas pertemuan kedua-dua pemimpin di Beijing.
Bagaimanapun, China tidak membuat kenyataan yang mengesahkan kenyataan Jinping itu.
Sebaliknya, Kementerian Luar China berkata, pendirian Beijing terhadap situasi Iran adalah jelas dan konflik tersebut telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Iran serta negara lain di rantau itu.
Menurut kementerian itu, konflik berkenaan turut memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi global, rantaian bekalan, perdagangan antarabangsa dan kestabilan bekalan tenaga dunia.
China menyambut baik gencatan senjata terkini antara AS dan Iran serta usaha menyelesaikan isu melalui rundingan.
“China sentiasa percaya dialog dan rundingan adalah jalan yang betul, manakala penggunaan kekerasan merupakan jalan yang buntu,” menurut kenyataan itu.
Beijing turut menyeru pembukaan semula laluan perkapalan secepat mungkin bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan global dan menyatakan pentingnya gencatan senjata menyeluruh serta berkekalan demi mengembalikan keamanan di Asia Barat termasuk rantau Teluk.
PERDAGANGAN
Trump berkata pada Jumaat bahawa beliau telah mencapai perjanjian perdagangan yang hebat dengan Jinping, selepas kedua-duanya menamatkan sidang kemuncak kuasa besar.
Beliau tiba di Beijing pada Rabu lalu dengan tujuan memeterai perjanjian dalam sektor seperti pertanian, penerbangan dan kecerdasan buatan, selain meredakan ketegangan dalam beberapa isu geostrategik termasuk perang di Asia Barat..
Namun, Trump berkata, banyak perkara positif telah terhasil daripada lawatan tersebut.
“Kami telah membuat beberapa perjanjian perdagangan yang hebat, baik untuk kedua-dua negara,” katanya selepas berjalan bersama Jinping di taman bunga ros di Zhongnanhai, kompleks kepimpinan pusat bersebelahan Kota Larangan di Beijing.
“Kami telah menyelesaikan banyak masalah berbeza yang orang lain tidak mampu selesaikan,” tambahnya tanpa memberikan butiran.
Jinping pula menyifatkan lawatan itu sebagai lawatan bersejarah dan berkata, kedua-dua pihak telah membentuk hubungan baharu dua hala yang bersifat kestabilan strategik yang konstruktif.
MENYERAH
Bagaimanapun, tumpuan utama persidangan itu adalah mengenai isu perang Iran dan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Sehari sebelum pertemuan mereka, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata bahawa tiada penyelesaian ketenteraan bagi isu berkaitan negaranya dan Teheran tidak akan tunduk kepada tekanan atau ugutan..
Bercakap semasa mesyuarat menteri luar BRICS 2026 di India, Araghchi berkata, Iran telah dua kali dalam tempoh kurang setahun menjadi sasaran pencerobohan yang kejam dan tidak sah oleh AS serta Israel, menurut Fars News Agency.
“Ia kini harus jelas kepada semua bahawa Iran tidak boleh dikalahkan dan apabila ditekan, ia akan muncul lebih kuat dan lebih bersatu daripada sebelumnya,” katanya.
Araghchi berkata, Iran bersedia untuk berjuang dengan kekuatan penuh bagi mempertahankan kebebasan, kedaulatan dan integriti wilayahnya serta tetap komited sepenuhnya kepada pendekatan diplomasi.
“Seperti yang telah saya tekankan berulang kali, tiada penyelesaian ketenteraan untuk sebarang isu berkaitan Iran,” katanya.
Pasukan tentera laut Iran telah membenarkan beberapa kapal China melalui Selat Hormuz yang strategik sejak malam Rabu lalu pada hari ketika Trump melawat negara komunis itu.










