Litar Sungai Petani: Saifuddin ada maklumat menarik, namun enggan ulas lanjut

Litar Sungai Petani: Saifuddin dakwa ada maklumat menarik, enggan ulas lanjut

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut pada Program Sentuhan Budi Mangsa Ribut di Dewan Seri Serdang di Bandar Baharu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Siasatan melibatkan projek sebuah litar lumba bernilai RM75 juta di Sungai Petani yang didakwa berlaku penyelewengan wajar diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk proses lebih lanjut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada peringkat ini beliau memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun memiliki pelbagai maklumat berkaitan projek tersebut.

Beliau berkata, setakat ini difahamkan telah wujud laporan dibuat berhubung perkara itu dan tindakan sewajarnya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Saya difahamkan sudah ada pihak yang membuat laporan. Jadi kalau betul wujud (penyelewengan) saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.

“Pada peringkat ini saya tak mahu beri sebarang komen walaupun hakikatnya saya ada banyak maklumat. Kadang-kadang apa yang kita cakap akan ditafsir seolah-olah ada motif politik, jadi biar dulu proses berjalan,” katanya selepas menghadiri Program Sentuhan Budi Mangsa Ribut di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan audit ke atas Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.

Ia bagi memastikan terdapat penyelewengan dalam dakwaan berlaku ketirisan dalam projek terbabit selepas sejumlah RM10 juta dikatakan sudah dibelanjakan bagi kerja penyediaan tapak sebelum ini.

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga Pengerusi PKR Kedah memberi bayangan akan bersedia mendedahkan beberapa perkara berkaitan projek berkenaan pada masa yang sesuai.

“Saya tahu apa yang tersurat dan tersirat di sebalik projek-projek ini. Sampai masa nanti, saya akan sebut beberapa maklumat yang menarik,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab sebagai kerajaan berbeza berbanding ketika menjadi pembangkang, khususnya daripada segi kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Katanya, ketika menjadi pembangkang, sesuatu kenyataan boleh dibuat berdasarkan andaian tanpa memikul tanggungjawab penuh namun situasi berubah apabila berada dalam kerajaan.

“Bila kita jadi kerajaan, kita ada tanggungjawab dan juga. Kalau sudah umum tujuh atau lapan projek, rakyat akan lihat hasilnya setelah sekian lama. Tak kan satu pun tak siap dan tak kan semua orang salah.

“Ini maksud saya tanggungjawab datang dengan kebertanggungjawaban, kalau dipersoalkan jangan bising jangan marah kita kena ada akauntabiliti sebab kita dah buat pengumuman, jadi saya tak mau komen lebih dari itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN