Lebih 200 artifak dijumpai dalam Gua Pelangi

Lebih 200 artifak dijumpai dalam Gua Pelangi

PENYELIDIK melakukan kerja-kerja ekskavasi fasa empat di Gua Pelangi, Jelebu yang bermula sejak 17 April lalu. – IHSAN LMNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Lebih 200 artifak prasejarah ditemukan sepanjang pe­laksanaan ekskavasi fasa satu hingga tiga di Gua Pelangi di sini sekali gus mengukuhkan bukti kewujudan penempatan manusia purba di gua tersebut.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd. Gorip berkata, penemuan itu merangkumi alat batu, tembikar tanah liat, tulang haiwan dan sisa makanan masyarakat prasejarah seperti siput, rusa dan monyet.

Menurutnya, penemuan ter­sebut menunjukkan Gua Pela­ngi pernah didiami masyarakat prasejarah khususnya pada zaman Paleolitik dan Mesolitik antara 9,000 hingga 14,000 tahun lalu.

“Bagaimanapun, setakat ini kami belum menemukan rangka manusia dan hanya menjumpai tulang haiwan dan sisa makanan seperti siput, rusa dan monyet.

“Penemuan rangka manusia prasejarah menjadi antara harapan utama dalam ekskavasi fasa empat, namun ia bergantung kepada hasil penggalian semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aziz berkata, ekskavasi fasa empat, bermula pada 17 April dan berakhir pada 28 April lalu.

Sementara itu katanya, ekskavasi fasa empat melibatkan kira-kira 25 penyelidik daripada pelbagai agensi termasuk Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Warisan Negara.

“Fasa empat ini merupakan kesinambungan kepada penyelidikan terdahulu dan dijangka menjadi fasa terakhir bagi melengkapkan dapatan dan analisis kajian di gua ini.

Hasil laporan kajian ini akan menjadi asas kepada kerajaan negeri bagi menentukan potensi dan hala tuju pembangunan kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, tiada penemu­an baharu artifak dalam fasa ekskavasi fasa empat ini namun ia berjaya mencapai tujuan dan objektifnya.

Sementara itu katanya, jenis artifak ditemui sebelum ini bergantung kepada kedalaman lapisan tanah digali seperti tembikar yang kebiasaannya ditemui di lapisan atas yang dianggarkan berusia antara 7,000 hingga 9,000 tahun lalu, iaitu sekitar zaman Neolitik atau prasejarah akhir.

“Bagi lapisan yang lebih dalam, kami lebih banyak menemukan alat batu yang digunakan untuk mengetuk dan menghancurkan, termasuk bagi tujuan pemprosesan makanan seperti daging haiwan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri turut merancang menjadikan gua tersebut sebagai arkeopelancongan dengan mewujudkan mini galeri mempamerkan artifak yang ditemui selain penyediaan papan tanda dan informasi bagi kemudahan pelawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×