Laksa Buyung The Cabin, tarik ramai pelanggan

Laksa Buyung The Cabin, tarik ramai pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAKSA yang sememangnya sinonim dengan makanan yang berasal dari Pulau Pinang dan Kedah kini sudah mendapat perhatian penggemar dalam kalangan penduduk kawasan Felda Wilayah Jengka di Maran dan Felda Gugusan Tekam, Gelanggi, Lepar di Jerantut.

Berbekalkan usaha dan kesinambungan warisan pembuatan laksa daripada air tangan ibunya, pemilik gerai The Cabin, Nor Mazlina Jubri, 40, terus mencuba mengkomersialkan makanan itu dengan meletakkan jenama baharu, iaitu Laksa Buyung.

Menurut Nor Mazlina, dia memilih untuk meneruskan warisan ibunya dengan menjual laksa dan nasi ayam madu sehingga dikenali pelanggan daripada kalangan penduduk sekitar tanah rancangan Felda Wilayah Jengka,

Gugusan Felda Tekam, Felda Kota Gelanggi dan Felda Lepar kedua daerah tersebut.

Ceritanya, dia terdetik untuk membuka gerai The Cabin pada tahun lalu dengan menjual menu utama, iaitu laksa buyung itu di lokasi perniagaan yang strategik kerana banyak permintaan daripada penggemar makanan warisan orang tua itu.

Lokasi The Cabin terletak di persimpangan masuk Taman Ibul Jaya dinaungi pokok semarak, cukup tenang serta dipuput angin segar menyebabkan pelanggan lebih selesa selain kemudahan ruang parkir yang luas.

Nor Mazlina berkata, gerai The Cabin yang dibuka pada 2025 beroperasi mulai pukul 12 tengah hari hingga 10 malam selain menjual laksa buyung juga menyediakan nasi ayam madu, sup ayam, sup daging, bakso dan makanan goreng ala western.

Bercakap mengenai menu laksa buyung, Nor Mazlina menjelaskan dia mempelajari cara masakan laksa itu daripada ibunya sejak usia remaja sehinggalah benar-benar mahir dan boleh dikomersialkan.

Tambahnya, perencah dan cara masakan laksa buyung ini merupakan adunan warisan laksa utara dan laksa Johor sementelahan keluarganya berasal dari selatan tanahair.

Katanya, menu tersebut lazat kerana kuahnya dimasak di dalam buyung atau periuk tanah lalu dia terus menjenamakan perniagaan makanan itu laksa buyung bagi tujuan komersial.

“Campuran perencah laksa dimasak dalam buyung untuk dijadikan kuah mudah sebati dan tahap kepanasannya lebih lama menyebabkan (kuah) sentiasa sedap dan beraroma berbanding dimasak menggunakan periuk logam.

“Saya menyediakan empat kilogram laksa, ikan selayang, lada kisar, daun kesum, bunga kantan dan campuran bahan lain untuk menyedapkan laksa buyung ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Taman Ibol Jaya, Jerantut baru-baru ini.

Menurut Nor Mazlina, walaupun menu itu mirip laksa utara Semenanjung, tetapi aroma serta kelazatan perencah bahan berasaskan warisan Johor daripada air tangan ibunya.

 

 

Katanya, laksa buyung dijual dengan harga RM6 semangkuk dan setiap hari laris kira-kira 50 bekas (mangkuk) serta kadang-kadang lebih daripada jumlah tersebut pada hujung minggu.

Nor Mazlina berkata, menu kedua yang menjadi tarikan penggemar di gerai The Cabin, iaitu nasi ayam madu yang juga dipelajari daripada ibunya merupakan gabungan warisan Johor dan Pahang.

“Nasi ayam madu antara menu kedua yang juga amat digemari pelanggan ketika tengah hari dan malam malahan ada membawa pulang selepas makan di The Cabin.

“Ayam digoreng garing bercampur madu, nasi berwarna kuning serta campuran sambal kicap dan lada serta tambahan sup cukup menyelerakan ini dijual dengan harga RM7.50 sebekas,” katanya.

Tambahnya, menu lain merupakan makanan sampingan juga mendapat perhatian seperti sup ayam dengan harga RM7 sebekas, sup daging (RM8), bakso (RM7) dan makanan bergoreng seperti keropok lekor, nugget dan kentang (antara RM5 – RM5).

Katanya, harga makanan tersebut berpatutan dan mampu bagi kalangan pelanggan yang terdiri daripada pekebun sawit, kakitangan kerajaan, buruh ladang serta pengunjung luar yang makan di gerai The Cabin.

Ujarnya, walaupun harga bahan api naik berikutan krisis di Asia Barat, dia masih mengenakan harga yang berpatutan hanya memadai untuk pulangan modal dan sedikit untuk simpanan bagi kegunaan lain. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN