PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 51 peratus berbanding RM18.31 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu terutamanya oleh peningkatan pendapatan ekuiti selain strategi awal merealisasikan keuntungan sebelum ketidaktentuan pasaran global meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keputusan portfolio yang dibuat pada awal tahun membolehkan dana persaraan itu mempercepatkan penjanaan pendapatan berikutan jangkaan ketidaktentuan pasaran dunia.
Menurut beliau, pengurus portfolio KWSP telah merealisasikan sebahagian keuntungan lebih awal bagi mengukuhkan kedudukan pelaburan dana tersebut.
“Ahli tidak seharusnya menjadikan prestasi suku ini sebagai petunjuk bagi tempoh seterusnya kerana pencapaian sebegini berkemungkinan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang.
“Portfolio asas terus diurus untuk pulangan jangka panjang yang mampan dan bukannya pencapaian jangka pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar susulan risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak serta tekanan inflasi yang kembali meningkat.
“Keutamaan KWSP kini tertumpu kepada pemeliharaan modal dan pelaburan secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan serta kemampanan simpanan persaraan lebih 18 juta ahlinya,” katanya.
Bagi prestasi mengikut kelas aset, pendapatan ekuiti meningkat 88 peratus kepada RM20.34 bilion berbanding RM10.80 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong oleh sentimen pelabur yang semakin baik pada awal tahun sehingga mendorong kenaikan kebanyakan indeks utama global.
Bagaimanapun, momentum tersebut mula perlahan pada Mac berikutan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan global yang meningkatkan volatiliti pasaran.
Instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.76 bilion atau 24 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku pertama tahun ini.
Kelas aset yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia itu terus memberikan pulangan stabil dan berdaya tahan ketika pasaran berdepan ketidaktentuan.
Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan pendapatan RM0.19 bilion manakala instrumen pasaran wang merekodkan keuntungan RM0.44 bilion. – UTUSAN










