Krisis Negeri Sembilan: Anwar enggan ulas lanjut, ikut proses sedia ada

Krisis Negeri Sembilan: Anwar enggan ulas lanjut, ikut proses sedia ada

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga NRES di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan sanggup menjadi pembangkang dan tidak menyokong Menteri Besar.

Perdana Menteri berkata, kenyataan UMNO Negeri Sembilan itu masih belum jelas dan beliau tidak mahu membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Cuma sekarang ini kalau isu institusi raja, saya dengar sendiri daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Jadi isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada permintaan Raja, titah Raja, dan minta supaya stabil, Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) teruskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, soal sama ada Menteri Besar Negeri Sembilan, benar-benar kehilangan sokongan sepenuhnya perlu ditentukan mengikut proses.

“Apakah benar kehilangan sokongan sepenuhnya? Itu semua akan ikut proses. Tapi setakat ini kalau ikut kita parti yang menyokong sistem beraja, itu kita dukung lah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan Undang sebagai sebahagian daripada sistem beraja di Negeri Sembilan perlu dihormati.

“Maka saya juga telah berikan pandangan kepada Menteri Besar, selain daripada taat kepada titah Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, juga terus santuni Undang-Undang ikut peraturan dan undang-undang Negeri Sembilan,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Negeri Sembilan menyatakan rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, ini kerana pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang terkait krisis adat dan Perlembagaan negeri itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN