KPWKM giat kesan pusat jagaan tidak berdaftar - Utusan Malaysia

KPWKM giat kesan pusat jagaan tidak berdaftar

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap pusat jagaan kanak-kanak bagi memastikan semua premis beroperasi secara sah dan berdaftar.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan itu dilakukan susulan kes kematian kanak-kanak di pusat jagaan termasuk premis tidak berdaftar yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, terdapat pusat jagaan yang terlepas daripada pemantauan kerana pihak kementerian tidak mengetahui kewujudannya.

“Kadang-kadang terdapat pusat yang terlepas pandang kerana kami tidak mengetahui kewujudannya. Melainkan kami menerima maklumat daripada jiran atau mana-mana pihak yang mengesyaki terdapat pusat tidak berdaftar, mereka perlu memaklumkan kepada kami.

“Inilah yang kami maksudkan sebagai pendekatan seluruh komuniti. Kami memerlukan sokongan itu kerana kami juga tidak akan tahu melainkan orang ramai memberi petunjuk mengenai kewujudan pusat jagaan tidak berdaftar,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Penyertaan Malaysia di Bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di sini, hari ini.

Nancy berkata, pihaknya sudah menjalankan tanggungjawab termasuk menyediakan tanda pengenalan bagi menunjukkan sesebuah pusat jagaan itu berdaftar.

Bagaimanapun katanya, ada ibu bapa yang mungkin terlepas pandang kerana perlu menghantar anak ke pusat yang dilihat selamat.

“Perkara ini menimbulkan dilema kepada ibu bapa. Di pihak kami, ia merupakan proses berterusan untuk terus melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan mengejut masih dijalankan dan apabila mereka menemui pusat tidak berdaftar, tindakan akan diambil segera termasuk mengarahkan pusat itu ditutup,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi berusia tujuh bulan dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan pengasuh di rumahnya di Bandar Sri Sendayan.

Hasil siasatan kemudian mendapati rumah jagaan tersebut tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kelulusan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Selain itu, siasatan juga mendapati pengasuh itu tidak berdaftar dengan mana-mana jabatan dan mengambil upah menjaga kanak-kanak secara persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN