PUTRAJAYA: Kerajaan konsisten mempergiat usaha dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik dapat dijamin sekurang-kurangnya sehingga Disember, susulan daripada krisis bekalan global yang sedang berlaku ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini, status keterjaminan bekalan tenaga Malaysia berada dalam kedudukan stabil serta mencukupi untuk menampung permintaan sehingga Julai ini.
“Jadi kita nak mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga. Tujuannya supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak kita, bekalan gas kita. Kalau setakat ini, InsyaAllah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga bulan Julai.
“Petronas sedang bertungkus-lumus untuk mendapat sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun. Dan kalau ia dapat dimuktamadkan, kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember,” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika berucap melancarkan inisiatif Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bulan Mei 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan bahawa kestabilan dan keselesaan yang dinikmati ketika ini juga telah membentuk persepsi umum seolah-olah negara bebas daripada sebarang ancaman krisis.
Hakikatnya, beliau berkata, situasi tersebut merupakan implikasi langsung daripada perancangan rapi dan gerak kerja konsisten oleh pelbagai agensi serta pihak berkepentingan di sebalik tabir.
“Di Malaysia kita masih hampir mudah sebenarnya, kita masih merasakan Malaysia ini macam tidak ada krisis. Ini kedudukan di Malaysia. Tetapi sebenarnya orang bekerja untuk memastikan supaya kita masih berada dalam keadaan selesa ini, banyak pihak yang memainkan peranan sebenarnya,” katanya.
Menurut beliau, pengurangan intensiti penggunaan utiliti itu akan mengurangkan tekanan terhadap permintaan tenaga keseluruhan, sekali gus bertindak sebagai benteng pertahanan negara daripada krisis luaran.
“Kita kena memainkan peranan, pastikan penyimpanan dalam penggunaan elektrik kita, penggunaan air kita supaya mengurangkan penggunaan tenaga.
“Bila mengurangkan penggunaan tenaga, kita dapat memanjangkan tempoh bekalan tenaga kita dan akhirnya kita akan dapat keterjaminan dan tidak akan terkesan dengan krisis yang berlaku,” ujarnya. – UTUSAN










