Klausa ‘Pilihan untuk Membeli’ beri perlindungan lebih baik kepada pembeli rumah - Utusan Malaysia

Klausa ‘Pilihan untuk Membeli’ beri perlindungan lebih baik kepada pembeli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan memperkenalkan klausa ‘Pilihan untuk Membeli’ (OTP) di bawah rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dilihat mampu memberi manfaat besar kepada bakal pembeli rumah dan industri hartanah secara keseluruhan.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia menyambut baik cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk memasukkan mekanisme itu dalam kerangka undang-undang baharu sektor perumahan.

Presidennya, Datuk Ho Hon Sang berkata, walaupun mekanisme berkenaan masih diperincikan, klausa OTP adalah langkah lebih progresif dalam melindungi kepentingan pembeli sebelum mereka menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA).

Menurut beliau, mekanisme itu memberi ruang kepada pembeli untuk membuat keputusan dengan lebih yakin dan terancang kerana mereka mempunyai tempoh mempertimbangkan semula pembelian sekiranya berlaku perubahan kewangan, komitmen atau keperluan semasa.

“OTP memberi perlindungan tambahan kepada bakal pembeli kerana mereka tidak terus terikat kepada SPA pada peringkat awal.

“Dalam masa sama, ia membantu pembeli membuat keputusan pembelian secara lebih matang tanpa tekanan,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah cadangan itu, pembeli dan pemaju mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada transaksi sebelum SPA dimeterai.

Bagi pembeli, klausa berkenaan memberi fleksibiliti untuk membatalkan pembelian sekiranya keadaan berubah atau mereka berubah fikiran terhadap hartanah dipilih.

Pada masa sama, mekanisme itu turut membantu pemaju menilai permintaan sebenar pasaran sebelum projek dimulakan, sekali gus mengurangkan risiko projek tidak mendapat sambutan mencukupi.

Hon Sang berkata, pendekatan itu boleh mewujudkan ekosistem pasaran perumahan yang lebih sihat kerana pemaju dapat membuat perancangan projek berdasarkan minat pembeli yang lebih tepat dan realistik.

Tambahnya, OTP juga berpotensi mengurangkan risiko projek tidak berdaya maju dari segi komersial atau kewangan, selain membantu memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan pasaran. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN