PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad memperkasa komuniti menerusi pemantapan pendidikan kelestarian di empat Sekolah Angkat Madani di Johor dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Peruntukan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Prihatin Pendidikan itu memanfaatkan seramai 6,080 pelajar di empat sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar UDA 2, SK Kompleks UDA, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama dan SMK Bandar Baru UDA.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, Sekolah Angkat Madani @ Johor yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Angkat UDA mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh pendidikan kelestarian.
Menurut beliau, inisiatif itu sekali gus melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dalam komuniti di wilayah pembangunan UDA.
“Sejak diperkenalkan pada 2024, inisiatif Sekolah Angkat UDA di bawah CSR UDA Prihatin Pendidikan menerusi anak syarikat, UDA Land South Sdn. Bhd., menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
“Keempat-empat sekolah ini turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan Emas dan Perak bagi Sekolah Showcase Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor pada 2024 dan 2025, manakala SMK Bandar Baru UDA diiktiraf sebagai Sekolah Ikon Lestari Johor 2025,” katanya dalam kenyataan.
Tahun ini, UDA menyumbangkan empat unit mesin kompos bagi menyokong pengurusan sisa organik secara lebih mampan.
Empat sekolah terbabit turut menerima peralatan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Alam Sekitar atau e-STEM seperti pencetak 3D, Snap Circuits Pro Kit dan Arduino Education Starter Kit.
Ahmad Fuaad berkata, inisiatif itu diharap dapat menggalakkan pembelajaran lebih praktikal serta memberi ruang kepada pelajar membangunkan projek inovasi berteraskan kelestarian alam.
“Pada masa sama, UDA turut menyalurkan sumbangan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi penganjuran bengkel pembangunan kapasiti berkaitan penghasilan kompos secara lebih sistematik.
“Program dikenali sebagai UDA Lestari Buddies itu akan dilaksanakan di dua zon iaitu Johor Bahru dan Kota Tinggi serta memanfaatkan seramai 420 guru sekolah rendah dan menengah.
“Selain itu, sumbangan turut digunakan bagi penganjuran Majlis Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor 2026 sebagai usaha mengiktiraf sekolah dan pelajar yang aktif melaksanakan inisiatif kelestarian,” ujarnya.
Beliau berkata, fokus UDA pada tahun ini selari dengan seruan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Program berkenaan memenuhi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan Darat).
Sejak 2024, pelbagai program telah dilaksanakan bersama empat sekolah terbabit antaranya Recycle Drive-Thru, pembangunan Taman Herba, Ruang Lestari RMT SKODA, Taman Lestari Refleksologi serta UDA Agro Culture Park. –UTUSAN










