Ketidakpadanan kemahiran, jangkaan gaji cabaran utama JS-SEZ - Utusan Malaysia

Ketidakpadanan kemahiran, jangkaan gaji cabaran utama JS-SEZ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian tenaga kerja terbaharu mendedahkan wujudnya jurang ketidakpadanan antara tahap kemahiran dan jangkaan gaji dalam pasaran buruh Johor menjelang pengumuman Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua Pegawai Eksekutif Central Force International, See Toh Wai Yu berkata, data menunjukkan bakat sedia ada di Johor perlu diselaraskan semula mengikut hala tuju ekonomi masa depan.

“Apa yang kita lihat sekarang adalah jurang yang semakin melebar antara jangkaan dan kesediaan. Jurang inilah yang akhirnya akan menentukan sejauh mana dan sepantas mana Johor boleh memacu pertumbuhannya,” katanya dalam kenyataan.

Dapatan kajian menunjukkan meskipun 45 peratus tenaga kerja Johor sudah mampu memacu penggunaan teknologi, sebahagian besar lagi masih dalam fasa peralihan dengan pendedahan terhad kepada alatan moden dan peranan bernilai tinggi.

Kajian itu turut menonjolkan ketidakseimbangan geografi, di mana Johor Bahru muncul sebagai daerah paling sedia dari segi digital berbanding kawasan luar bandar yang lebih tertumpu kepada kemahiran teknikal asas tanpa pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI).

Selain faktor kemahiran, jangkaan pendapatan juga dilihat sebagai kekangan struktur yang kritikal. 

Majoriti penduduk Johor menyatakan gaji RM3,000 ke bawah sudah memadai untuk menjalani “kehidupan yang baik”, manakala hanya segelintir kecil mengaitkannya dengan pendapatan melebihi RM5,000.

Persepsi ini kekal konsisten walaupun dalam kalangan mereka yang berpendapatan tinggi, sekali gus mencerminkan Johor dilihat sebagai negeri yang stabil dan mampu milik, namun tidak semestinya bersifat aspirasi.

Mengulas lanjut, Wai Yu berkata, transformasi ekonomi Johor harus mengikut tahap kesediaan dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru bagi mengelakkan ketidaksamaan ekonomi yang lebih luas.

“Risiko terbesar bukanlah Johor bergerak terlalu perlahan, tetapi jika kita bergerak terlalu seragam tanpa mengikut kesediaan kawasan. Jika kita tersalah padan antara cita-cita dan keupayaan, kita berisiko mewujudkan geseran dan bukannya momentum,” katanya.

Sehubungan itu, kejayaan JS-SEZ amat bergantung kepada sejauh mana kerajaan dan industri mampu menyelaraskan keupayaan bakat tempatan dengan jangkaan gaji serta pelaburan yang masuk bagi memastikan pertumbuhan nilai tinggi dapat dicapai. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN