KUALA LUMPUR: Kenderaan mewah milik bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk antara disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Luxury.
Bekas pemain bola sepak yang pernah menjuarai Liga Super beberapa kali ditahan ketika memandu Toyota Vellfire sekitar pukul 4 pagi semalam di sekitar Bukit Bintang.
Manakala pakar motivasi pula ditahan di sekitar Lembah Klang kerana memandu kereta Mercedes Benz Brabus AMG dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kenderaan bekas pemain bola sepak itu disita selepas melakukan tiga kesalahan iaitu tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh sejak 7 Disember 2025 dan lesen memandu tamat tempoh.
“Kenderaan pakar motivasi itu juga disita kerana didapati LKM tamat tempoh selama sebulan dan tiada perlindungan insurans yang mana ia mendatangkan risiko bukan sahaja kepada pemandu tetapi pengguna jalan raya yang lain.
“Selain itu, kita juga dapati semasa ditahan, kenderaannya itu mempamerkan nombor kenderaan lain kerana sebenarnya dia (pakar motivasi), sudah membuat pertukaran nombor pendaftaran kenderaan, namun masih menggunakan nombor lama di mana ia adalah satu kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur di sini, semalam.
Jazmanie berkata, kesalahan membabitkan LKM paling lama tidak diperbaharui adalah sejak 1 Januari 2025 manakala LKM paling mahal ialah Porshe iaitu sebanyak RM16,000. – UTUSAN










