IPOH: Seorang kerani bahagian pentadbiran di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM500 bagi urusan pembekalan dan pemasangan karpet, tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Al Amzar Dualali, 32, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang kerani kanan Gred S10 yang bertugas di seksyen pentadbiran, telah bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki berusia 29 tahun.
Wang tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh di mana lelaki itu telah membantu Syarikat Carpetssouq Global untuk mendapatkan kerja pembekalan dan pemasangan karpet di Bilik Mesyuarat 1 dan Bilik Mesyuarat 2 di KPTM Ipoh bernilai RM7,840.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di KPTM Ipoh dalam daerah Kinta pada bulan Februari 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali manakala Mohamad Al Amzar tidak diwakili peguam.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan serta identitinya tidak disiarkan media demi menjaga nama baik anak-anaknya, namun, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar lebih bertanggungjawab dan amanah pada masa hadapan.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN










