Ribut pasir badai Iraq, bandar bertukar jingga - Utusan Malaysia

Ribut pasir badai Iraq, bandar bertukar jingga

LANGIT bertukar menjadi jingga akibat ribut pasir melanda Najaf, kelmarin. - GETTY IMAGE/ANADOLU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Penduduk di beberapa wilayah di Iraq kini berdepan detik sukar berikutan kejadian ribut pasir kuat yang melanda negara itu kelmarin sehingga memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan kecemasan.

Ribut angin kencang di wilayah barat Anbar telah menerbangkan gumpalan debu tebal sebelum ia mula bergerak ke arah timur menuju ke ibu negara, Baghdad.

Beberapa keping gambar yang tular dari wilayah terjejas mendedahkan suasana luar biasa apabila partikel pasir menyebabkan ruang udara bertukar menjadi warna jingga pekat yang menakutkan.

Bagi kebanyakan rakyat Iraq, bencana ini mengimbau kembali memori hitam siri ribut pasir terdahulu yang pernah mengakibatkan ribuan penduduk dikejarkan ke hospital akibat masalah pernafasan, selain turut meragut nyawa.

Bandar Najaf dilaporkan terjejas teruk selepas diselimuti oleh ribut berkenaan, sehingga menyebabkan jarak penglihatan di laluan jalan raya menjadi sangat terhad dan berbahaya.

Keadaan di luar rumah juga disifatkan sebagai ekstrem ekoran debu tebal yang diterbangkan oleh angin kencang bertiup pada kelajuan sehingga 96 kilometer sejam.

Susulan situasi berisiko itu, pihak berkuasa tempatan menggesa orang ramai untuk kekal berada di dalam rumah dan mengelakkan diri daripada menggunakan jalan raya.

Sementara itu, Pertubuhan Seismologi Meteorologi Iraq memberi amaran bahawa beberapa wilayah di bahagian tengah dan selatan kini berada dalam laluan pergerakan ribut tersebut.

Dalam satu kenyataan kecemasan, pertubuhan itu menasihatkan orang ramai agar berwaspada kerana jarak penglihatan boleh merosot secara mendadak seperti yang sedang berlaku di Najaf.

Tambah agensi itu, walaupun kelajuan angin dijangka berkurangan di bandar tengah dan selatan, sebahagian besar debu tebal diramal akan kekal terapung di ruang udara buat satu tempoh yang agak lama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN