KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan gaji pekerja di Malaysia meningkat kepada RM3,000 menjelang 2030 bagi memastikan nasib kumpulan itu terus dipelihara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan akan melakukan reformasi pasaran buruh menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan mampan.
Kata beliau, kerajaan mahu membentuk kontrak baharu antara majikan dan pekerja untuk memastikan keuntungan dirasai oleh kedua-dua belah pihak.
“Dalam kontrak ini, kita menolak model lama yang membiarkan keuntungan terkumpul atau berlegar di satu pihak sementara risiko dipindahkan kepada pihak yang paling lemah.
“Menjelang 2030, sasaran kita gaji penengah bulanan meningkat ke RM3,000 sebulan dan pampasan pekerja mencapai 40 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK),” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di Bukit Jalil di sini hari ini.
Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ramanan berkata, Malaysia tidak lagi mahu mengikut arus teknologi dunia, sebaliknya menentukan arahnya sendiri seperti ditetapkan dalam RMK13 iaitu menjadi negara kecerdasan buatan (AI).
“Kita mahu label ‘Made by Malaysia’ terpapar pada litar bersepadu dan perisian AI di seluruh dunia, bukan lagi sebagai pengguna tetapi pencipta teknologi.
“Oleh itu Kementerian Sumber Manusia akan tubuhkan Akademi Semikonduktor Kesuma (ASK) untuk melatih bakat dalam reka bentuk cip dan pembuatan AI,” katanya.
Tambahnya, beliau menjamin bahawa kerajaan akan sentiasa memantau rapat kesan geopolitik terhadap pasaran buruh negara dan sentiasa bersiap siaga untuk melakukan intervensi yang lebih komprehensif demi melindungi pekerja.-UTUSAN










