Kerajaan perkenal elaun cuti bersalin, elak wanita tinggal kerjaya

Kerajaan perkenal elaun cuti bersalin, elak wanita tinggal kerjaya

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di UNIFI Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) iaitu elaun bantuan kewangan sehingga 80 peratus daripada gaji bulanan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin wajib sebanyak 98 hari.

EPCB itu akan diperkenalkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerja 2017 dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan memperkenalkan EPCB adalah sebagai komitmen kerajaan untuk memperkasakan golongan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Katanya, berdasarkan data Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), golongan wanita menunjukkan trend pengunduran kerjaya yang kritikal iaitu sehingga 78.9 peratus bagi dua kategori umur.

“Di antara kita kaji terutama di kod umur 25 hingga 29 tahun dan 35 hingga 39 tahun banyak terkesan kerana komitmen bersalin. Ia memang mencabar, oleh itu sebagai langkah progresif mengiktiraf peranan wanita dan ibu di negara, kita bersetuju memperkenalkan EPCB di bawah Akta Sistem Insurans Pekerja 2017.

“Faedah ini dicadangkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di UNIFI Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Yang yurut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata, bagi merealisasikan cadangan itu, pindaan akan dilakukan terhadap Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu (bersalin) seperti mana yang berlaku selama ini, (golongan) ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan lapangan pekerjaaan. Ini cadangan untuk mengurangkan tekanan itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN