Kerajaan perkukuh perlindungan pekerja melalui reformasi undang-undang

Kerajaan perkukuh perlindungan pekerja melalui reformasi undang-undang

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebajikan, perlindungan dan maruah pekerja akan diperkukuhkan menerusi agenda reformasi undang-undang dan institusi yang menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu berteraskan keadilan sosial, perlindungan pekerja dan peluang yang saksama selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Beliau berkata, komitmen tersebut diperkukuh melalui Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030 yang memberi penekanan kepada sektor buruh bagi memastikan hak pekerja dilindungi, dihormati dan direalisasikan secara progresif.

“Usaha ini merangkumi elemen pengukuhan akses kepada remedi, perlindungan daripada amalan buruh tidak adil serta penggalakan amalan perniagaan bertanggungjawab berasaskan prinsip hak asasi manusia.

“Ia selaras dengan matlamat memastikan pembangunan ekonomi seiring dengan keadilan sosial dan pekerjaan bermaruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan penubuhan Ombudsman Malaysia yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen seterusnya akan mempertingkat ketelusan, akauntabiliti serta akses kepada keadilan bagi golongan pekerja.

Katanya, FOI akan memperkukuh perlindungan kepada pekerja melalui akses kepada maklumat berkaitan hak dan dasar buruh manakala Ombudsman pula berperanan sebagai saluran aduan bebas terhadap salah laku pentadbiran.

“Di samping itu, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah yang memberi manfaat kepada pekerja seperti peluasan akses kepada keadilan melalui Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026, termasuk peningkatan had kelayakan pendapatan bagi mendapatkan bantuan guaman kepada RM50,000.

“Dasar Peluang Kedua turut diperkukuh melalui inisiatif Fastrack yang mempercepat pelepasan status bankrap bagi golongan rentan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, khidmat mediasi percuma bagi pertikaian kontrak bernilai RM250,000 ke bawah turut disediakan bagi membolehkan penyelesaian yang lebih cepat dan kos efektif tanpa melalui mahkamah.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pekerja khususnya mereka yang berpendapatan rendah turut berpeluang mendapatkan pembelaan undang-undang.

“Hari ini bukan sekadar sambutan meraikan sumbangan golongan pekerja, tetapi lebih daripada itu, ia merupakan manifestasi iltizam Kerajaan Madani untuk membina sistem yang lebih adil dan inklusif.

“Setiap pekerja dilindungi, dihargai dan diberi peluang saksama selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. Selamat Hari Pekerja kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN