PUTRAJAYA: Pertukaran Menteri Besar Negeri Sembilan dengan mengekalkan status quo di negeri itu adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik sekali gus meredakan ketegangan yang berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, selain itu, antara yang boleh dipertimbangkan adalah mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar bagi menggantikan jawatan Exco Kanan yang disandang sebelum ini oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias.
“Bagi saya jawatan Timbalan Menteri Besar lebih berautoriti berbanding Exco Kanan, lagipun UMNO Pusat semalam telah membuat keputusan untuk masuk menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“Sebaiknya pertukaran Menteri Besar adalah daripada Barisan Nasional (BN). Langkah ini tidak akan timbul isu kerana di Perak pun Menteri Besar daripada BN,” katanya di sini semalam.
Dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung kelmarin, parti itu memutuskan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Namun, pada masa sama, UMNO berpendirian untuk menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.
Mohammad Tawfik berkata, apa yang paling penting sekarang adalah tidak menggugat emosi dan memaksa rakyat untuk turun mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN).
“Sekiranya Jalaluddin dilantik menjadi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun boleh ke Pusat dan menganggotai Kabinet kerana beliau Ahli Parlimen Port Dickson dan Naib Presiden PKR,” katanya.-UTUSAN.










