KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberi jaminan bekalan tenaga negara mencukupi bagi menampung permintaan sehingga Julai.
“Insya-Allah, cukup,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita selepas selesai menunaikan Solat Jumaat di Masjid al-Muttaqin, Wangsa Maju bersama-sama ahli kariah dan masyarakat setempat sempena Jumaat pertama bulan Zulhijjah di sini semalam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan status keterjaminan bekalan tenaga Malaysia stabil dan mencukupi menampung permintaan sehingga Julai ini.
Menurutnya, kerajaan konsisten mempergiat usaha dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik dapat dijamin sekurang-kurangnya sehingga Disember, susulan daripada krisis bekalan global yang sedang berlaku ketika ini.
“Jadi kita hendak mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga. Tujuannya supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak kita, bekalan gas kita.
“Kalau setakat ini, Insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga bulan Julai,” katanya..
Bagaimanapun, kata Fadillah, Petronas sedang bertungkus-lumus mendapatkan sumber bekalan termasuk hingga terpaksa ke Afrika dalam usaha memastikan keterjaminan sumber bekalan tenaga di negara ini hingga ke hujung tahun.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Anwar mendoakan semua petugas dan Duyufur Rahman yang kini berada di Tanah Suci diberikan kesihatan yang baik dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah haji.
Beliau turut mendoakan agar semua jemaah memperoleh haji yang diterima Allah SWT.
“Saya doakan agar semua para petugas dan tetamu Allah SWT yang istimewa kini terus diberikan kesihatan dan dapat memberi sepenuh tumpuan kepada ibadat haji dan memperoleh haji yang diterima Allah SWT,” katanya. – UTUSAN








