PETALING JAYA: Cuba merasuah ketua-ketua bahagian bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden merupakan antara sebab Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin terlibat.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyenaraikan 11 kesalahan yang dilakukan ahli Parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan lain-lain yang berpihak kepada bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin hingga membawa kepada tindakan oleh Lembaga Disiplin.
Tun Faisal berkata, antaranya adalah memberi habuan wang tunai RM3,000, bantuan kewangan dan peluang bertanding dalam pilihan raya sekiranya menyertai gerakan menyingkirkan Muhyiddin.
“Tidak mungkin mereka yang merasuah dan cuba merasuah atau yang melakukan kesalahan jenayah menggunakan akuan sumpah (SD) palsu, yang membuat rundingan-rundingan haram tanpa mandat yang mengkhianati kepentingan parti atau yang melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah adalah dalam kalangan mereka yang baik.
“Mereka adalah dalam kalangan orang yang jahat dan khianat, bagi yang sanggup melanggar baiah serta sumpah atas nama Allah, mereka adalah golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Laknat Allah pun mereka tidak takut, apa lagi laknat manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dan menggantung keahlian empat lagi wakil rakyat serta pemimpin parti itu selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Tun Faisal berkata, Lembaga Disiplin sudah melaksanakan tugas secara profesional, adil dan bebas demi kebaikan parti berpandukan peruntukan perlembagaan tanpa mengira status mereka, sama ada ahli biasa, Ahli MPT, ADUN atau ahli Parlimen.
Katanya, kesemua mereka diberi peluang membela diri dengan menyatakan sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan.
“Bukan semua dipecat, ada yang digantung, diberi amaran. Bagi yang digantung dan diberi amaran, mereka masih mempunyai peluang untuk bermuhasabah diri, insaf dan bertaubat.
“Ahli Parlimen, ADUN, ahli MPT dan ahli-ahli yang dihukum oleh Lembaga Disiplin ini tidak suci. Jenis kesalahan dan tahap kesalahan mereka berbeza, tidak sama,” katanya. – UTUSAN










