KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama dijangka tumbuh dijangka tumbuh lebih tinggi dari anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.3 peratus sebelum ini, kata Kementerian Ekonomi.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran awal yang dikongsikan sebelum ini dibuat secara konservatif mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta krisis bekalan yang sedang berlaku ketika ini.
“Saya jangkakan anggaran sebelum ini agak konservatif dan data terkini akan diumumkan esok. Saya sendiri cenderung untuk merendahkan sedikit unjuran pertumbuhan mengambil kira konteks krisis yang sedang berlaku.
“Namun saya jangkakan pertumbuhan suku pertama tidak jauh daripada apa yang telah diunjurkan dan mungkin lebih baik daripada anggaran awal sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor ‘Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda’ di Asia School of Business di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara meskipun berdepan cabaran luaran.
Beliau berkata, kerajaan akan mengetengahkan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global sempena krisis bekalan global ini bagi membolehkan maklumat diterima masyarakat secara lebih terbuka.
“Pada masa sama, ia memberi ruang untuk menilai keadaan sepanjang tempoh krisis secara lebih interaktif serta membantu masyarakat memahami situasi semasa.
“Kita tahu apabila berlaku krisis, rakyat adalah pihak yang paling terkesan dan kerajaan cuba sedaya upaya menguruskan keadaan ini kerana tanpa intervensi, keadaan akan menjadi lebih sukar,” ujarnya.
Menurutnya, krisis semasa juga membuka ruang kepada negara melakukan penyesuaian struktur ekonomi termasuk memperkukuh keselamatan bekalan tenaga.
Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan peningkatan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula 1 Jun sebagai sebahagian usaha memperkukuh rantaian bekalan tenaga negara.
“Selain itu, kerajaan masih menyasarkan kadar inflasi tahun ini berada dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus meskipun inflasi global bagi 2026 dijangka mencecah 4.4 peratus.
“Pelbagai langkah intervensi kerajaan berjaya membantu mengekang tekanan harga dengan kadar inflasi semasa berada sekitar 1.7 peratus,” jelasnya. – UTUSAN










