Mbappe kena ejek dengan penyokong sendiri

Mbappe kena ejek dengan penyokong sendiri

Kylian Mbappe
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Bintang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe menerima cemuhan penyokong sendiri ketika membantu pasukannya menewaskan Real Oviedo 2-0 dalam aksi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu,semalam.

Penyerang Perancis itu kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan paha, namun kemunculannya sebagai pemain gantian tetap mengundang rasa tidak puas hati sebahagian penyokong Los Blancos.

Madrid yang gagal mempertahankan kejuaraan liga selepas Barcelona mengesahkan gelaran minggu lalu kini bakal menamatkan musim tanpa trofi utama buat kali kedua berturut-turut.

Mbappe muncul penjaring terbanyak pasukan musim ini dikritik hebat sejak kebelakangan ini kerana didakwa kurang menunjukkan komitmen terhadap kelabnya.

“Bunyi boo itu… itulah kehidupan, anda tidak boleh mengubah pendapat orang apabila mereka marah. Itulah kehidupan seorang pemain Real Madrid dan pemain terkenal seperti saya.

“Pemain bola sepak tidak semestinya perlu memahami, mereka hanya perlu menerima, terus memandang ke hadapan dan mengubah keadaan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Gonzalo Garcia meletakkan Madrid di hadapan sebelum tamat babak pertama hasil hantaran Brahim Diaz. Jude Bellingham kemudian memastikan kemenangan tuan rumah menerusi jaringan kedua selepas menerima umpanan Mbappe.

Turut menjadi sasaran cemuhan ialah Vinicius Junior yang bergelut mempamerkan aksi terbaiknya di hadapan ribuan kerusi kosong di Bernabeu.

Mbappe sebelum ini mencetuskan rasa kurang senang penyokong selepas dilihat bercuti di Sardinia ketika masih dalam proses pemulihan kecederaan.

Walaupun begitu, penyerang berusia 27 tahun itu tetap cuba tenang menghadapi tekanan dan hampir menambah jaringan menerusi beberapa percubaan berbahaya.

Situasi tegang di Bernabeu turut menyaksikan penyokong mengkritik presiden kelab, Florentino Perez apabila sepanduk bertulis ‘Florentino keluar sekarang’ diturunkan pihak keselamatan stadium.

Dalam perkembangan lain, Girona seri 1-1 menentang Real Sociedad untuk terus berada di atas zon penyingkiran, manakala Valencia dan Rayo Vallecano turut berkongsi mata dengan keputusan sama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN