SERDANG: Pameran Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026 terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif serantau apabila buat pertama kali mengalu-alukan penyertaan kumpulan jenama kenderaan komersial dari Taiwan.
Sebagai antara kumpulan antarabangsa terbesar yang mengambil bahagian, tujuh syarikat dari Taiwan dijangka memanfaatkan platform ini untuk mengumpul maklumat pasaran, menjalin kerjasama baharu serta memperkenalkan jenama mereka kepada pemain industri tempatan dan serantau.
Penganjur MCVE 2026, Stefan Pertz berkata, penyertaan pelbagai jenama antarabangsa termasuk dari China, Turkiye, Itali, Filipina dan Singapura membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi utama industri automotif komersial.
“Ini adalah manifestasi pencapaian global dan persepsi positif terhadap Malaysia yang berada pada kedudukan baik sebagai hab global untuk pemain automotif,” katanya sempena MCVE 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini.
Beliau berkata, edisi kali ini akan menampilkan konsep baharu iaitu Zon Pengalaman, sejajar dengan trend inovasi dan perubahan dalam gaya hidup pengguna.
Menurutnya, sektor pelancongan kenderaan rekreasi seperti perkhemahan dan karavan semakin berkembang di Malaysia, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap perjalanan fleksibel pasca pandemik.
“Sorotan utama Zon Pengalaman ialah Mercedes Unimog ‘Moggy’ yang dibawa khas dari Australia bagi mempamerkan konsep kehidupan dalam trak tentera yang diubah suai.
“Selain itu, beberapa kenderaan keluaran Asia RV turut ditawarkan dengan promosi istimewa sepanjang ekspo berlangsung,” jelasnya.
Stefan turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang menyokong penganjuran MCVE 2026, sambil menegaskan komitmen penganjur untuk terus menambah baik pameran tersebut.
“Kami menghargai komitmen berterusan penaja dan akan terus mencabar standard sedia ada bagi memastikan MCVE kekal relevan serta memberikan pengalaman terbaik kepada pengunjung,” katanya. –UTUSAN










