KUALA LUMPUR: Kegiatan sebuah premis di Kajang dekat sini yang menyimpan produk sejuk beku tanpa lesen serta Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terbongkar selepas diserbu polis, minggu lalu.
Produk seperti karkas babi, kepak ayam dan itik itu dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk restoran dan pasar raya.
Polis menahan lima lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun yang merupakan pekerja di premis berkenaan.
Turut dirampas pelbagai produk sejuk beku bernilai kira-kira RM12.4 juta dengan anggaran berat keseluruhan mencecah 167,143.72 kilogram.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, antara barangan yang dirampas adalah 4,840 karton karkas babi, selain kepak ayam (410) dan itik (115).
Katanya, ia dipercayai diseludup masuk dari Brazil, China dan Argentina yang diragui status halalnya.
“Produk berkenaan dibawa masuk dari selatan tanah air, kemudian disimpan di premis terbabit sebelum dibungkus semula bagi tujuan pengedaran ke pasaran tempatan.
“Siasatan mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen penyimpanan sah, selain gagal mematuhi syarat pengendalian produk sejuk beku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Mohd. Yusri berkata, antara kesalahan lain yang dikesan di bawah Akta Imigresen 1959 membabitkan penggajian pekerja asing tanpa permit sah serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Turut dikesan kesalahan di bawah Perenggan 5 (2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perenggan 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 melibatkan produk import yang tidak diiktiraf, penggunaan penandaan halal generik pada pembungkusan serta pencampuran produk halal dan tidak halal.
“Premis berkenaan turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kajang (MPK) kerana menjalankan perniagaan bukan di tempat yang dilesenkan,” katanya. – UTUSAN










