Flotila GSF dipintas tentera Israel berhampiran Cyprus

Flotila GSF dipintas tentera Israel berhampiran Cyprus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel dilaporkan sedang memintas flotila bantuan menuju ke Gaza pada Isnin ketika belayar dari Turkiye minggu lalu, dengan penganjur mendakwa salah sebuah kapal dihentikan di barat Cyprus.

“Kapal tentera kini sedang memintas armada kami dan anggota Angakatan Pertahanan Israel (IDF) sedang menaiki kapal pertama kami pada siang hari.

“Kami menuntut laluan selamat untuk misi kemanusiaan sah dan aman kami. Kerajaan-kerajaan dunia perlu bertindak sekarang untuk menghentikan tindakan haram atau lanun ini yang bertujuan mengekalkan kepungan genosid Israel ke atas Gaza.

“Normalisasi keganasan oleh pihak pendudukan adalah ancaman kepada kita semua,” menurut hantaran Global Sumud Flotilla (GSF) di platform X.

Kira-kira 50 kapal berlepas dari barat daya Turkiye pada Khamis sebagai sebahagian daripada misi flotila tersebut.

Pada Isnin, Israel berikrar akan menghalang kapal-kapal itu.

“Israel tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran terhadap sekatan laut sah ke atas Gaza.

“Israel menyeru semua peserta dalam provokasi ini supaya menukar haluan dan berpatah balik dengan segera,” menurut kenyataan kementerian luar Israel di platform X.

Kementerian itu bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan komen sama ada tentera Israel benar-benar sedang memintas kapal-kapal berkenaan.

GSF merupakan inisiatif ketiga dalam tempoh setahun yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, yang kini berdepan kekurangan serius makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api sejak perang Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.

Pihak berkuasa Israel menolak dakwaan kekurangan bantuan kemanusiaan, dengan menyatakan wilayah Palestin itu ‘dibanjiri’ bekalan.

Tentera Israel sebelum ini memintas flotila kedua di perairan antarabangsa berhampiran Greece pada 30 April lalu dan mengusir kebanyakan aktivis kembali ke Eropah.

Namun, dua aktivis ditahan dan dipenjarakan selama beberapa hari di Israel sebelum dihantar pulang.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan penahanan itu sebagai tidak sah dan mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan mengalami layanan buruk ketika dalam tahanan Israel.

Pihak berkuasa Israel menafikan dakwaan penderaan itu, namun tidak memfailkan sebarang pertuduhan terhadap kedua-duanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN