PETALING JAYA: Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) mengurangkan peruntukan manifesto kepimpinan bagi setiap portfolio daripada RM3,000 kepada RM1,500 bagi mengumpul hampir RM60,000 untuk agenda kebajikan mahasiswa.
Presiden KMUKM sesi akademik 2025/2026, Muhammad Haikal Hamidi berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan lebihan dana dapat disalurkan terus kepada pelajar yang berdepan tekanan kos sara hidup dan isu penempatan.
Menurutnya, antara tumpuan utama ialah bantuan sekali bayar (one-off) rumah sewa berjumlah RM20,000 kepada mahasiswa memerlukan, bantuan asas rumah sewa sebanyak RM5,000 serta Insentif Perkasa KITA Siswa bernilai RM35,000.
“KMUKM melihat keperluan untuk memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, khususnya bagi pelajar yang berdepan kekangan kewangan dan perlu menyewa di luar kampus.
“Pengurangan dana manifesto ini dibuat bagi membolehkan lebihan dana dimanfaatkan secara terus kepada mahasiswa,” katanya dalam kenyataan.
Insentif Perkasa KITA Siswa pula memberi fokus kepada sembilan domain pembangunan mahasiswa merangkumi sukan, kesukarelawanan, kebajikan, kerohanian, keusahawanan, kebudayaan, inovasi, perpaduan dan kepimpinan.
Pada masa sama, KMUKM turut menggerakkan inisiatif Menu Kasih Siswa bersama pengusaha kafeteria di UKM bagi menyediakan pilihan makanan pada harga lebih rendah dan mesra mahasiswa.
“Kami bekerjasama dengan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM dalam menjayakan projek Dapur Siswa bagi menyediakan ruang memasak lebih selesa, termasuk usaha membekalkan bahan mentah asas kepada pelajar tertentu yang memerlukan,” kata Muhammad Haikal.
Sementara itu, Penasihat KMUKM merangkap Timbalan Pengarah Kepimpinan Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata, pendekatan tersebut mencerminkan kepimpinan mahasiswa yang matang, prihatin dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Inisiatif seperti bantuan rumah sewa, Menu Kasih Siswa dan Dapur Siswa mencerminkan budaya kebersamaan dan kesejahteraan yang perlu terus diperkukuh dalam ekosistem kampus,” katanya. – UTUSAN










