KEMAMAN: Perjalanan pulang tiga beranak dari Melaka ke Kijal di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mereka maut manakala dua lagi cedera setelah terlibat kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 291 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Hentian Rehat dan Rawat Kijal, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Rosli Yusuf, 54, yang berasal dari Kampung Bukit Teruna, Kijal, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anaknya, Iliya Markisa, 23, cedera di bahagian kepala dan leher serta Auni Ukhratan Basyirah, 14, luka di bahagian mata dan muka.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu treler jenis Volvo, Mitsubishi Triton dan Proton X50.
Katanya, ketika kejadian, treler yang dipandu lelaki berusia 46 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Tol Jabor menuju ke Kuala Besut manakala Rosli dan dua anaknya yang menaiki Mitsubishi Triton sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kijal.
Proton X50 yang dipandu wanita berusia 47 tahun pula sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ketika treler tersebut berada di sebelah kiri laluan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu, tiba-tiba hilang kawalan dan menghimpit kenderaan dinaiki Rosli dan anak-anaknya yang berada di sebelah kanan lebuh raya.
“Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut merempuh penghadang lebuh raya di sebelah kanan dan masuk ke laluan bertentangan,” katanya di sini.
Mohd. Razi berkata, pada masa yang sama, Proton X50 yang berada di kiri lebuh raya cuba mengelak kedua-dua kenderaan itu namun gagal ekoran jarak terlalu dekat dan merempuh Mitsubishi Triton manakala treler pula terbabas ke bahu jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan Rosli disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi individu termasuk dua anak Rosli, pemandu lori serta penumpang Proton X50 mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
“Mayat mangsa turut dihantar ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










