K9 ‘turun’ cari petunjuk baharu SAR Nur Qaseh Deandra

K9 ‘turun’ cari petunjuk baharu SAR Nur Qaseh Deandra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tumpuan pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, di sini kelmarin, kini menjurus kepada lokasi penemuan petunjuk baharu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan berkata, unit anjing pengesan (K9) turut dikerahkan ke lokasi terbabit dalam SAR hari ini. 

Beliau berkata, radius SAR yang memasuki hari ketiga hari ini membabitkan lima kilometer (km) dari lokasi kejadian di Pangsapuri Sri Hijau sehingga Sungai Long yang bersambung dengan Sungai Langat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pencarian turut dilakukan dari Sungai Langat sejauh 24 km menghala ke penahan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, menjadikan radius keseluruhan pencarian 29 km.

“SAR diluaskan sehingga Sungai Langat namun tumpuan utama kita masih di sepanjang kira-kira 5km Sungai Long. 

“Petunjuk baharu kita mengenal pasti kawasan melalui maklumat orang awam dan kita menghantar unit K9 (anjing pengesan) dan pasukan ke kawasan itu juga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurutnya, SAR membabitkan kekuatan seramai 60 anggota daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis. 

Beliau berkata, ketika ini antara kaedah yang digunakan dalam operasi berkenaan ialah menggunakan unit K9 di beberapa lokasi di sungai yang paras air dalam sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menyelam jika terdapat sebarang petunjuk positif.

“Persekitaran yang cerah dengan keadaan arus sungai yang tenang dan cetek pada paras lutut banyak memudahkan pergerakan anggota menyusuri tebing dan laluan air,” katanya.  

Terdahulu media melaporkan, kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus di Bandar Mahkota Cheras, kelmarin dikatakan sering bermain di kawasan berlakunya tragedi itu. 

Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, dipetik berkata kawasan lapang bersebelahan Kondominium Sri Hijau itu sering menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain, termasuk anaknya, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras itu pada 7.08 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini