TANJUNG MALIM: Jenazah remaja perempuan yang ditemukan meninggal dunia semalam selepas hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor sejak Sabtu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul,19, selesai dikebumikan pada pukul 3.05 pagi.
Terdahulu, kira-kira 50 orang menyertai solat jenazah Nur Izzati Humaira di Masjid Al-Ridzuaniah Felda Trolak Utara, Sungkai di sini.
Bapa arwah, Azizul Abdul Aziz, 48, mengimamkan solat jenazah itu pada pukul 2.20 pagi.
Sebaik sahaja selesai solat jenazah, ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran terdekat memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid tersebut.
Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 11.58 pagi semalam.
Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.38 tengah hari sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.
Ujarnya, polis mengklasifikasikan kes penemuan Allahyarham sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










