KUALA LUMPUR: Tiada ruang harus diberikan kepada pelaku gangguan seksual sama ada secara terang-terangan mahupun berselindung di sebalik gurauan kerana perbuatan itu tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, banyak kes gangguan seksual sebelum ini tidak dilaporkan berkemungkinan disebabkan mangsa takut atau tidak yakin mereka akan dilindungi.
Katanya, kajian menunjukkan jika kes kecil dibiarkan tanpa tindakan, keadaan itu boleh membuka ruang kepada perlakuan yang lebih serius pada masa hadapan.
“Justeru, kita perlu memastikan tiada ruang diberikan langsung kepada pelaku sama ada secara terang-terangan mahupun berselindung di sebalik gurauan.
“Isu gangguan seksual bukan perkara baharu yang boleh dipandang remeh kerana ia merupakan satu bentuk salah laku yang memberi kesan mendalam dari segi emosi, psikologi dan sosial kepada kehidupan mangsa.
“Oleh itu, usaha advokasi dan pendidikan masyarakat amat penting bagi mengubah cara berfikir, memperkukuh kefahaman serta membina budaya lebih selamat, inklusif dan berteraskan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Katakan Tidak Kepada Gangguan Seksual di Hotel Premiera, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata, kes gangguan seksual di negara ini bukan hanya melibatkan golongan wanita, sebaliknya turut membabitkan golongan lelaki.
Katanya, perkara itu menunjukkan keperluan untuk menghormati semua gender tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana lelaki juga tidak mahu diperlakukan sedemikian.
“Sebab itu kita mengadakan advokasi ini supaya ia diketahui masyarakat luar tentang tindakan yang boleh diambil.
“Dalam kes-kes yang dilaporkan kepada polis setakat ini, terdapat tiga kes di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang melibatkan lelaki,” katanya. – UTUSAN










