Pembangkang Taiwan gagal pecat Presiden

Pembangkang Taiwan gagal pecat Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Ahli Parlimen pembangkang Taiwan gagal dalam usaha memecat Presiden, Lai Ching-te selepas jumlah undi menyokong usul itu tidak mencapai syarat minimum yang diperlukan.

Ching-te dan parti pemerintahnya, Parti Demkratik Progresif (DPP), terlibat dalam pertelingkahan sengit dengan dua parti pembangkang yang menguasai Parlimen sejak beliau memegang jawatan pada Mei 2024.

Ahli Parlimen daripada Kuomintang (KMT) dan Parti Rakyat Taiwan (TPP) memulakan prosiding pemecatan selepas Ching-te dan perdana menterinya enggan meluluskan rang undang-undang perkongsian hasil yang diluluskan Parlimen.

Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perlembagaan pulau demokrasi itu.

Ahli Parlimen pembangkang turut menyifatkan Ching-te sebagai ‘diktator’, manakala ahli Parlimen DPP, Wu Szu-yao, berkata, pada Isnin KMT dan TPP sedang bekerjasama dengan kuasa luar yang bermusuhan untuk memanipulasi konflik politik Taiwan.

Seramai 56 ahli Parlimen menyokong usaha memecat Ching-te manakala 50 lagi menolaknya.

Jumlah undi menyokong itu bagaimanapun gagal mencapai syarat minimum dua pertiga daripada keseluruhan 113 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk meluluskan usul berkenaan.

Perdana Menteri, Cho Jung-tai pada Selasa berikrar untuk terus mendorong perdamaian dan kewujudan bersama dengan parti pembangkang.

Namun, perpecahan politik kekal mendalam.

Antara isu utama yang menjadi pertikaian antara kerajaan Ching-te dan pembangkang ialah jumlah perbelanjaan bagi mempertahankan pulau itu daripada kemungkinan serangan China.

China mendakwa Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk merampasnya dengan kekerasan.

KMT dan TPP menolak cadangan kerajaan untuk membelanjakan NT$1.25 trillion (RM156 bilion) bagi pembelian senjata penting termasuk senjata dari Amerika Syarikat serta dron dan peluru buatan tempatan.

Sebaliknya, selepas berbulan-bulan pertelingkahan politik, parti pembangkang meluluskan bajet NT$780 billion (RM97.8 bilion) khusus untuk pembelian senjata dari AS sahaja.

Ching-te , yang lantang mempertahankan kedaulatan Taiwan, menuduh China sebagai punca utama ketidakstabilan di rantau itu.

KMT pula, yang menyokong hubungan lebih rapat dengan China dan dipimpin Cheng Li-wun yang baru-baru ini melawat Beijing untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping, menyalahkan Ching-te kerana memburukkan ketegangan rentas Selat Taiwan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN