PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Pas dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh supaya berhenti menjadi ‘tukang bantah’ sebaliknya mengemukakan pelan alternatif yang konstruktif untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Teresa berkata, tindakan kedua-dua pihak yang berterusan menyerang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebagai satu langkah ke belakang yang hanya akan membunuh industri pelancongan negara.
Malah, beliau turut memberi amaran keras supaya Kuala Lumpur dan Malaysia tidak menerima nasib yang sama seperti Pulau Langkawi, yang didakwanya kini semakin ‘lesu’ dan merosot akibat dasar sempit kerajaan pemimpin negeri itu.
“Rekod prestasi Pas dalam sektor pelancongan amat membimbangkan. Lihat sahaja situasi di Pulau Langkawi, kegagalan tadbir urus kerajaan negeri telah menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik.
“Kita tidak boleh membiarkan imej Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia terjejas akibat dasar sempit yang akhirnya merosakkan ekonomi rakyat,” katanya di laman Facebook.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar mendakwa festival muzik tersebut tidak mencerminkan identiti Malaysia manakala Dr. Akmal pula mempersoalkan penganjurannya atas alasan penjimatan kerajaan.
Bekas Naib Presiden DAP itu berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu membentangkan sebarang cadangan konstruktif untuk menarik jutaan pelancong asing ke negara ini.
“Amat menghairankan, mereka lantang menolak tetapi gagal beri alternatif. Pas dan Dr. Akmal perlu berpijak di bumi nyata.
“Majoriti pelancong asing datang ke sini untuk berehat, mencari hiburan dan merasai kemeriahan budaya bandar raya. Mereka datang bukan untuk terikat dengan sekatan moraliti yang melampau,” katanya.
Tambahnya, fokus utama ketika ini sepatutnya terarah kepada pertumbuhan ekonomi dan kejayaan VM2026, bukannya mempolitikkan isu perkauman dan agama yang hanya akan menakutkan pelabur serta pelancong.
“Sekiranya mereka tidak setuju dengan konsert atau festival muzik, maka mereka bertanggungjawab bentangkan program lain yang mampu bawa masuk berjuta pelancong.
“Jangan hanya tahu membantah, tapi idea kosong,” katanya. – UTUSAN










