KANGAR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama individu membuat laporan polis berhubung kes kalimah Allah SWT di dalam tokong di hadapan sebuah kedai alat perkakasan sekitar persiaran Jubli Emas di sini.
Dua laporan polis itu dibuat oleh wakil Pertubuhan Bai’hu Malaysia Perlis bersama seorang individu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, pada pukul 2.57 petang.
Wakil NGO berkenaan, Sazeli Saad, 45, berkata, pihaknya tampil membuat laporan itu selepas melihat satu hantaran tular di laman sosial berkaitan kalimah Allah yang terdapat pada tokong di kedai alatan perkakasan tersebut.
“Berikutan itu, saya tampil ke balai untuk membuat laporan berkaitan dengan isu ini sebab kalimah suci Allah ini tidak sewenang-wenangnya digunakan di dalam tokong selain daripada penganut agama Islam,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan di sini hari ini.
Terdahulu, gambar kalimah Allah SWT di dalam tokong tular di media sosial, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan rakyat di negeri ini.
Sazeli berkata, tindakan memaparkan kalimah Allah pada tokong itu juga boleh mengugat keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
“Ia boleh memecah-belahkan keharmonian rakyat di Perlis dan Malaysia. Jadi perkara ini perlu disiasat lebih lanjut dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kangar, Saiful Fariddil Jasmi ketika dihubungi berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis berhubung kes itu bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Beliau berharap siasatan dapat dijalankan dengan sebaiknya bagi mengetahui apakah motif sebenar tindakan dilakukan oleh pihak terlibat.
“Siasatan perlu dijalankan bagi mengelakkan keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini tergugat,” katanya.-UTUSAN










