KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 sebelum ini adalah merupakan langkah tepat yang dilaksanakan pada ketika itu.
Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) Ridhwan Rosli berkata, pihaknya percaya keputusan Menteri Kesihatan ketika itu dibuat berdasarkan pertimbangan mendalam bagi memberi ruang kepada peralihan kawal selia industri vape yang lebih tersusun.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan industri kini beralih sepenuhnya kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah dikuatkuasakan sebagai undang-undang utama yang wajib dipatuhi.
“Kami percaya tindakan Menteri pada waktu dan saat itu adalah benar berdasarkan keperluan keputusan ketika itu. Kami tidak melihat isu (Akta Racun) ini sebagai satu masalah besar kerana ia berlaku sebelum wujudnya Akta 852.
“Sekarang adalah masanya untuk semua pihak mematuhi dan mengikut undang-undang terbaharu iaitu Akta 852,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program Sesi Meja Bulat Keberkesanan Pelaksanaan Akta 852 dan Hala Tuju Strategik di ibu negara, hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Bagaimanapun, Zaliha memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
Mengulas mengenai tindakan rayuan itu, Ridhwan berkata, pihaknya tetap dengan pendirian untuk bergerak ke hadapan.
Katanya, Akta 852 yang diluluskan pada tahun 2024 itu adalah instrumen terbaik setakat ini bagi memastikan industri vape dapat beroperasi secara sah dan terkawal.
“Wujudnya Akta 852 itu sendiri sudah sangat baik, cuma kita perlu memperkukuhkan lagi penambahbaikan berdasarkan maklum balas industri,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memohon agar KKM terus bersikap proaktif dalam mendengar maklum balas daripada pemain industri tempatan.
“Walaupun Akta 852 ini sudah sangat baik, penambahbaikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
“Kita perlu melihat kepada impak pelaksanaan sepanjang dua tahun tempoh pergerakan akta ini supaya ia tidak memudaratkan ekonomi usahawan, terutamanya peniaga Bumiputera.” katanya. – UTUSAN










