KKM jamin 850 pelajar perubatan terkesan di UK boleh jalani latihan siswazah di Malaysia

KKM jamin 850 pelajar perubatan terkesan di UK boleh jalani latihan siswazah di Malaysia

DZULKEFLY Ahmad (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian CRM Trial Connect Conference 2026 di Connexion Conference & Event Centre Bangsar South di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada halangan bagi 850 pelajar perubatan Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) untuk menjalani latihan siswazah di negara ini menggunakan modul sedia ada, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia mempunyai kapasiti mencukupi untuk melatih graduan berkenaan dan pada masa sama mahu bakat perubatan tempatan berkhidmat kepada rakyat sendiri.

Katanya, beliau memberi jaminan kepada 850 pelajar NUMed yang terkesan bahawa mereka tidak akan terkandas walaupun United Kingdom (UK) mengubah dasar mereka.

“KKM sedia menyerap 850 pelajar perubatan NUMed untuk menjalani latihan siswazah (housemanship) di 48 hospital latihan kami di seluruh Malaysia. Ijazah NUMed tetap diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971.

“Pihak Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) telah mengesahkan bahawa tiada halangan untuk graduan ini dilatih di Malaysia menggunakan modul sedia ada tertakluk kepada syarat-syarat kemasukan sedia ada.

“Kita mempunyai kapasiti dan kita mahu bakat anda berkhidmat untuk rakyat kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2026, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di NUMed yang berdepan ketidakpastian masa depan susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh UK yang mengubah syarat kemasukan ke Program Foundation (FY1/FY2).

Perubahan dasar itu menyebabkan pelajar NUMed kini tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Melalui bawah peraturan baharu, keutamaan hanya diberikan kepada graduan yang mengikuti pengajian dan latihan secara fizikal di UK, sekali gus meletakkan pelajar NUMed yang menamatkan pengajian di Malaysia dalam kategori graduan perubatan antarabangsa (IMGs).

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting yang membentangkan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat pada Januari lalu menyifatkan NHS tidak seharusnya mengambil tenaga kerja dari negara yang kekurangan doktor serta membiarkan kumpulan graduan tempatan yang bersedia berkhidmat tidak mendapat pekerjaan.

Undang-undang itu berfungsi dengan mewujudkan sistem keutamaan bagi dua laluan kemasukan kritikal ke dalam amalan perubatan di UK iaitu Program Asasi UK (UK Foundation Programme, UKFP) dan latihan kepakaran.

UKFP adalah program latihan wajib selama dua tahun yang menjadi jambatan antara pengajian perubatan dan pendaftaran penuh dengan GMC dan jika tiada, seseorang tidak boleh berkhidmat sebagai doktor bertauliah sepenuhnya di UK.

Menurut Dzulkefly, proses penempatan dan kemasukan graduan akan dilaksanakan mengikut kategori kelayakan sedia ada.

“Bagi warganegara Malaysia, graduan boleh terus memohon melalui SPA9 dengan syarat memenuhi kriteria skim perkhidmatan termasuk lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi bukan warganegara termasuk pasangan atau pemastautin tetap (PR), permohonan boleh dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Kontrak (JPPK) di bawah KKM sebelum disahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) turut menegaskan bahawa proses pendaftaran dan pengiktirafan graduan perubatan di Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Perubatan 1971 serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, segala keputusan berkaitan pendaftaran, latihan dan kelayakan profesional dilaksanakan berdasarkan keperluan statutori dan piawaian yang ditetapkan oleh badan itu.

“Dari sudut perundangan, kelayakan perubatan yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 adalah diiktiraf untuk tujuan pendaftaran di Malaysia.

“Selaras dengan peranan sebagai badan pengawal selia, MPM kekal komited untuk memastikan semua pengamal perubatan yang berdaftar di Malaysia memenuhi standard kompetensi, profesionalisme dan keselamatan pesakit yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Dzulkefly, beliau memahami kekecewaan pelajar perubatan terhadap perubahan dasar di UK, namun keutamaan KKM ketika ini adalah memastikan bakat perubatan tempatan terus mempunyai laluan untuk berkhidmat di negara sendiri.

“Kami faham kekecewaan pelajar terhadap perubahan dasar di UK. Namun, fokus utama saya sebagai Menteri Kesihatan adalah memastikan bakat perubatan kita ada tempat untuk berkembang.

“Jika UK menutup pintu, Malaysia sentiasa membuka pintu untuk anda pulang berkhidmat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN