Iktiraf UEC berisiko wujudkan dualisme pendidikan - Utusan Malaysia

Iktiraf UEC berisiko wujudkan dualisme pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengiktirafan kemasukan calon Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara langsung atau tidak langsung berisiko mewujudkan dualisme pendidikan yang memisahkan rakyat mengikut aliran bahasa dan etnik.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria berkata, pengiktirafan terhadap UEC akan membuka ruang kepada kewujudan sistem pendidikan yang bergerak di luar kerangka dasar pendidikan negara serta melemahkan prinsip penyatuan nasional yang selama ini dipertahankan.

Ini kerana, format UEC adalah berasaskan silibus luar dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada Kurikulum Kebangsaan selain menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama pendidikan.

“Kandungan kurikulum serta buku teks UEC juga ditentukan sendiri tanpa tertakluk sepenuhnya kepada piawaian dan tapisan menyeluruh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Dasar Pendidikan Kebangsaan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa utama pengantar pendidikan bagi membentuk identiti negara bangsa yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Tambah Borhan, kerajaan sewajarnya memperkukuhkan sistem peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk meningkatkan mutu pendidikan nasional, bukannya membuka ruang kepada sistem peperiksaan luar yang tidak selari dengan aspirasi negara.

Katanya, peperiksaan tersebut merupakan peperiksaan kebangsaan yang inklusif serta menjadi milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang masyarakat.

“Selain itu, Perkasa turut kesal apabila terdapat pihak tertentu menggunakan institusi tahfiz bagi mewajarkan pengiktirafan UEC sedangkan perkara itu langsung tidak boleh disamakan.

“Ini kerana, majoriti pelajar tahfiz masih berada dalam kerangka pendidikan negara dan menduduki peperiksaan SPM, justeru institusi itu tidak wajar dijadikan alasan mengabsahkan sistem peperiksaan luar,” katanya.

Borhan turut mempersoalkan desakan berterusan pihak tertentu yang mahu kerajaan mengiktiraf UEC walaupun isu tersebut sekian lama mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan politik sehingga mengorbankan prinsip asas pendidikan negara serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Pendidikan merupakan soal kedaulatan negara dan tidak sepatutnya dijadikan medan percaturan politik kepartian mahupun kepentingan kelompok tertentu dalam masyarakat.

“Sehubungan itu, Perkasa menuntut kerajaan membatalkan usaha mengiktiraf UEC dan memastikan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 dilaksanakan tanpa kompromi serta menolak sebarang bentuk politisasi pendidikan yang boleh menggugat perpaduan dan identiti nasional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN