Geng Pusak Merah terlibat jenayah terancang tumpas, 23 didakwa hari ini - Utusan Malaysia

Geng Pusak Merah terlibat jenayah terancang tumpas, 23 didakwa hari ini

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Pusak Merah’ yang dianggotai penjenayah berulang dan aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di sekitar Sarawak sejak 2020 dengan penahanan 23 individu.

Operasi khas menerusi Op Pusak Merah itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Sarawak pada 19 April hingga 23 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah kekerasan terutama membabitkan rompakan sehingga membabitkan kecederaan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan parah, rusuhan bersenjata dan pemerasan.

Katanya, kumpulan yang diketuai lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu mempunyai seramai 26 ahli berusia antara 19 hingga 44 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.

“Seramai 23 suspek warga tempatan sudah ditahan dan mereka direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah – Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga Isnin depan.

“Turut dirampas selaras senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama dan masing-masing dua pedang samurai serta parang panjang dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenalpasti tiga identiti ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan kini usaha mengesan ketiga-tiga individu itu sedang giat dilakukan.

“Semua tangkapan itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau seperti bunuh, rompak berkumpulan, khianat dengan api, menyebabkan kecederaan, ugutan jenayah dan pecah rumah.

“Selain itu, curi dalam bangunan, curi kenderaan, membuat laporan palsu, menjalankan kegiatan rumah judi terbuka, memiliki barangan curi dan pengedaran dadah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, modus operandi kumpulan itu ialah melakukan pemerasan bagi tujuan mendapatkan wang perlindungan, serangan ke atas premis yang gagal membayar wang berkenaan.

Katanya, selain itu mereka membuat ugutan jenayah serta mencederakan pihak yang enggan menuruti kemahuan kumpulan itu dan melakukan jenayah serius untuk memperluaskan kuasa, pengaruh dan mendapatkan faedah material untuk kumpulan.

“Penahanan ahli kumpulan itu berjaya menyelesaikan 25 kes sekali gus melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di sekitar Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada Isnin lalu dan bersetuju untuk pertuduhan terhadap 26 ahli kumpulan berkenaan termasuk tiga yang masih bebas mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak pada 2.30 petang, hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kumar berkata, JSJ Bukit Aman berjaya melumpuhkan enam kumpulan jenayah terancang dengan 81 suspek sudah dituduh di mahkamah sejak Ogos tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN