PETALING JAYA: Affin Bank Berhad (Affin Bank) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) akan memfasilitasi akses kepada Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi tekanan kewangan jangka pendek.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan RM5 bilion oleh BNM yang dirancang untuk membantu PKS yang berdaya maju mengukuhkan kecairan, mengurus keperluan modal kerja dan mengekalkan operasi perniagaan sepanjang tempoh ketidaktentuan geopolitik semasa.
Di bawah SME SRF, PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 pada kadar pembiayaan sehingga 3.75 peratus setahun.
Kumpulan Affin dalam satu kenyataan berkata, kemudahan itu turut merangkumi perlindungan jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
“Jaminan ini akan membantu meningkatkan akses kepada pembiayaan, terutamanya bagi PKS yang mempunyai cagaran terhad.
“Kami juga akan terus menyokong PKS menerusi langkah bantuan bayaran balik, termasuk pilihan penjadualan dan penstrukturan semula, serta sokongan khidmat nasihat yang disesuaikan mengikut keadaan kewangan dan keperluan perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kumpulan kekal komited untuk membantu PKS mengemudi cabaran operasi dan aliran tunai.
Katanya, PKS bukan sahaja penting kepada Affin, malah merupakan salah satu pemacu utama ekonomi Malaysia dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh rantaian bekalan domestik.
“Affin fokus untuk menyediakan penyelesaian praktikal yang tepat pada masanya bagi menangani keperluan segera pelanggan, sekali gus memperkukuh daya tahan mereka untuk jangka masa panjang.
“PKS yang menjangkakan kemungkinan berdepan cabaran digalakkan untuk menghubungi kami seawal mungkin bagi membolehkan penilaian bersama dibuat untuk mengekalkan momentum dan memacu pertumbuhan,” katanya.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada bantuan kewangan bersasar yang diperkenalkan Kumpulan Affin pada 9
April 2026 bagi membantu pelanggan yang terkesan oleh ketidaktentuan geopolitik global. – UTUSAN










