Iklan berbayar media sosial bakal lalui pengesahan identiti - Utusan Malaysia

Iklan berbayar media sosial bakal lalui pengesahan identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Komunikasi bercadang mewajibkan semua pengiklan berbayar di platform media sosial untuk melakukan pengesahan identiti sebagai langkah memperkukuh keselamatan dalam talian.

Langkah itu juga bertujuan membendung penipuan digital, perjudian dalam talian dan penyalahgunaan identiti tokoh terkenal bagi tujuan komersial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, cadangan itu merupakan antara elemen penting yang digariskan menerusi Kod Mitigasi Risiko (Risk Mitigation Code) yang akan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code) mulai esok.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat perlu memandangkan kebanyakan iklan penipuan yang berlegar di media sosial ketika ini menggunakan kaedah iklan berbayar atau sponsored post yang sukar dikesan pemilik sebenar.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab menjadi lebih rumit selain membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah siber yang merugikan pengguna.

“Pada masa ini kita sering melihat pelbagai iklan tajaan di media sosial yang mempromosikan skim pelaburan tidak wujud, perjudian dalam talian dan pelbagai tawaran meragukan. Ada juga pihak yang menggunakan gambar serta identiti pemimpin negara, tokoh korporat dan individu terkenal tanpa kebenaran bagi memperdaya orang ramai supaya menyertai pelaburan atau program tertentu.

“Masalahnya, kita tidak mengetahui siapakah individu atau pihak yang sebenarnya membayar platform media sosial untuk menyiarkan iklan tersebut. Oleh sebab itu, kita mahu platform mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkan identiti pengiklan sebelum iklan dibenarkan disiarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Bandar Hilir yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, di sini hari ini.

Nie Ching berkata, tanggungjawab yang lebih besar perlu dipikul oleh penyedia platform media sosial memandangkan mereka mempunyai keupayaan teknologi untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pengguna yang ingin membeli ruang pengiklanan.

Katanya, mekanisme tersebut bukan bertujuan menyekat aktiviti perniagaan sah, sebaliknya memastikan setiap pihak yang menggunakan platform digital untuk tujuan pengiklanan boleh dikenal pasti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

“Apabila identiti pengiklan dapat disahkan, ia akan memudahkan siasatan dan tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat unsur penipuan, perjudian haram atau kandungan yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kedua-dua kod baharu yang diperkenalkan MCMC akan mula berkuat kuasa esok terhadap penyedia platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.

Menurut beliau, dua kategori yang diberikan keutamaan tertinggi ialah bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM) dan penipuan kewangan yang semakin berleluasa di ruang siber.

Beliau berkata, pelaksanaan kod berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasakan persekitaran digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan mesra pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN