TUMPAT: Seorang ibu terkedu selepas menemukan anak lelakinya meninggal dunia dalam keadaan mayat telah mereput di dalam sebuah bilik yang berkunci di Kampung Dalam Rhu di sini.
Mangsa yang berusia 35 tahun yang merupakan merupakan seorang penganggur ditemukan selepas ibunya membuka bilik berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan lelaki tempatan itu sebelum anggota polis bersama petugas perubatan Hospital Tumpat bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk tujuan bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat yang telah mereput,” katanya ketika dihubungi Utusaj Malaysia hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN










