IBADAH korban bukan sekadar amalan tahunan setiap kali tibanya Aidiladha, sebaliknya menjadi simbol ketaatan dan pengabdian seorang hamba kepada Allah SWT sebagaimana ditunjukkan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.
Pengasas Tahfiz dan Pondok Ahmadiah, Chikus, Pasir Salak di Perak, Ismail Yaakob Ahmad, 71, berkata, sejarah korban membawa pengertian cukup besar kepada umat Islam kerana ia menuntut sifat reda, ikhlas dan sanggup berkorban demi perintah Allah SWT.
Menurut beliau, kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan menyembelih anaknya sendiri menjadi bukti pengorbanan tertinggi dalam Islam.
“Kalau kita hendak menghayati sejarah korban, memang besar sejarahnya. Kita kena baca kembali perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS.
“Baginda hendak sembelih anaknya sendiri, sedangkan anak hanya seorang. Itu pengorbanan yang cukup besar,” katanya ketika ditemui di Tahfiz Ahmadiah di Parit 9, Chikus.
Beliau berkata, umat Islam hari ini hanya diperintahkan menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda syukur dan pengabdian kepada Allah SWT.
“Kita tidak sampai macam itu. Kita cuma sembelih haiwan ternakan. Itu pun kalau mampu sama ada seekor atau berkongsi tujuh bahagian bagi seekor lembu,” katanya.
Tambah beliau, ibadah korban walaupun hukumnya sunat muakkad, tetapi amat digalakkan kepada umat Islam yang berkemampuan.
“Memang korban tidak wajib, tetapi hampir-hampir wajib untuk dilaksanakan bagi mereka yang mampu.
“Ia peluang untuk kita yang tidak pergi ke Mekah menunaikan haji supaya dapat melaksanakan ibadah korban di tanah air sendiri,” katanya.
Menurut beliau, fadilat ibadah korban amat besar kerana setiap titisan darah haiwan korban akan menjadi saksi di akhirat kelak.
“Kalau ikutkan semua orang kena berkorban. Bagi yang mampu mungkin boleh ambil satu ekor lembu atau lebih.
“Tapi yang kurang mampu pun Islam galakkan turut serta. Paling tidak dalam satu rumah ada seorang yang mengambil bahagian korban pada tahun tersebut,” ujarnya.
Mengulas mengenai penghayatan ibadah korban dalam membentuk jiwa insan, beliau berkata, kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS mengajar manusia mengenai nilai reda dan keikhlasan yang tinggi.
“Dalam peristiwa itu, Nabi Ibrahim AS reda melaksanakan perintah Allah untuk menyembelih anaknya.
“Nabi Ismail AS pula reda menyerahkan dirinya untuk disembelih. Kalau salah seorang tidak reda, mungkin peristiwa itu tidak berlaku.
“Di situlah kebesaran Allah SWT dan besarnya pengajaran korban kepada kehidupan manusia,” katanya.
Sementara itu, Ismail yang berasal dari Parit 9, Chikus berkata, Tahfiz dan Pondok Ahmadiah yang diasaskannya mula dibangunkan kira-kira tiga tahun lalu sebelum menerima kemasukan pelajar pertama pada 2025.
Katanya, ketika ini pusat tahfiz tersebut mempunyai 14 pelajar lelaki berusia antara 10 hingga 15 tahun yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
Selain pengajian tahfiz, pusat itu turut mengadakan kelas pengajian fardhu ain untuk masyarakat setempat khususnya golongan warga emas.
“Kelas fardhu ain ini terbuka kepada semua peringkat umur, tetapi kebanyakan yang datang pesara dan warga emas yang mahu mendalami ilmu agama.
“Mereka datang ketika kuliah sahaja, pagi atau petang, kemudian balik semula,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bersyukur apabila sambutan masyarakat terhadap program korban di pusat tahfiz berkenaan semakin menggalakkan.
“Tahun ini kita berjaya kumpulkan enam ekor lembu untuk dikorbankan di kawasan tahfiz pada Hari Raya kedua.
“Kita akan bekerjasama dengan masyarakat kampung, pihak masjid dan golongan belia untuk menjayakan program tersebut,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat terutama golongan muda penting bagi menyemarakkan syiar Islam serta memberi kesedaran mengenai kepentingan ibadah korban.
“Saya akan panggil belia-belia kampung datang membantu supaya timbul kesedaran dan keinsafan untuk mereka turut serta melakukan korban pada tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap sambutan Aidiladha dapat diperkasakan sebagaimana kemeriahan Aidilfitri kerana hari kebesaran itu mempunyai kedudukan tinggi di sisi Islam.
“Walaupun tidak semeriah Hari Raya Puasa, sebenarnya Aidiladha lebih besar kerana tempoh takbirnya lebih panjang sehingga empat hari.
“Mungkin kefahaman masyarakat mengenai kebesaran Aidiladha masih kurang kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada Aidilfitri,” katanya. –UTUSAN









